Pendedahan rakaman audio subjudis dan menghina mahkamah, timbang untuk ambil tindakan terhadap SPRM dan Latheefa Koya – Tan Sri Shafee Abdullah

0

Hari ini pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat pendedahan beberapa rakaman audio yang dipercayai perbualan di antara Datin Seri Rosmah dengan Dato’ Seri Najib Razak.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Dato’ Seri Najib Razak, berkata pihaknya kini sedang membuat pertimbangan untuk mengambil tindakan terhadap SPRM dan Ketua Pesuruhjaya itu, Latheefa Koya kerana pendedahan rakaman audio berkenaan didakwa bersifat subjudis dan menghina mahkamah.

“Mendedahkan rakaman dan membincangkannya dengan orang awam sekarang adalah subjudis, malah, ia tindakan menghina mahkamah.

“Adakah ini cubaan SPRM untuk mempengaruhi perbicaraan kes yang sedang berjalan?” katanya kepada media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, hari ini.

Tambah peguam terkemuka itu lagi, dalam situasi biasa sebaik saja bukti ditemui, laporan polis perlu dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan secara tertutup.

“Ia tidak akan didedahkan kepada orang awam kerana siasatan berkenaan adalah sulit.

“Malah, Latheefa turut mengatakan bahawa ini adalah rahsia rasmi yang dibincangkan oleh bekas Ketua SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad,” katanya.

Muhammad Shafee, berkata dengan mengadakan sidang media itu, pihak polis kini perlu menjalankan siasatan terhadap perkara yang sudah diketahui umum.

“Perkara itu sendiri adalah satu pelanggaran yang serius,” ujarnya. — THE MALAYA POST

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply