Pencerobohan Raub : 85 hektar pokok durian Musang King dimusnahkan

0

Di Raub, Pahang lebih 85 hektar kawasan ladang durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam sudah ditebang dalam tempoh seminggu Operasi Pamah diadakan.

Ia membabitkan keseluruhan kawasan ceroboh berkenaan seluas lebih 101 hektar.

Kini hanya sebahagian kecil sahaja lagi yang belum dimusnahkan.

Lapor media, Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad, berkata kehadiran lebih ramai penebang terdiri daripada kakitangan JPNP di setiap daerah di negeri ini melancarkan kerja memusnahkan pokok durian.

Katanya, hampir 100 kakitangan JPNP yang menyertai Operasi Pamah dan mereka dibantu anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan kerja menebang secara berterusan menggunakan mesin gergaji berantai.

Katanya, aktiviti menebang sebenarnya dilakukan hanya dalam masa lima hari sahaja.

Pun begitu, tindakan provokasi daripada penceroboh itu sendiri selain jambatan yang dirosakkan menyebabkan kerja menebang tergendala.

“Aktiviti menebang mula berjalan lancar pada Selasa lalu, terutama selepas kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertanggungjawab mengawal dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam termasuk mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk ke hutan simpan berkenaan.

“Faktor hujan pada sebelah petang selain angin kencang turut menjejaskan kelancaran aktiviti menebang yang jadual asal mengambil masa sebulan untuk disiapkan,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, aktiviti menebang pokok durian Musang King dijangka siap sepenuhnya minggu depan terutama apabila semua jadual bertugas berjalan lancar mengikut apa yang dirancang.

Nor Azirim berkata, selepas aktiviti menebang selesai sepenuhnya kerja menanam pokok hutan akan dilakukan segera.

Beberapa spesies pokok hutan sudah dikenal pasti untuk penanaman semula antaranya meranti temak nipis.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply