Pembayaran BPR fasa 3 dan rayuan dikreditkan ke akaun penerima mulai 28 September ini

0

Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan BPR akan dikreditkan ke dalam akaun penerima secara berperingkat bermula 28 September ini dan dijangka selesai pada 30 September depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan media menjelaskan, pembayaran membabitkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion ini akan memanfaatkan 3.6 juta penerima sedia ada.

Untuk fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400.

“Penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300 termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing. Ia berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak”, katanya.

Menurutnya lagi, beberapa bantuan tunai lain seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak.

Pembayaran bantuan itu dijadual akan disalurkan pada Oktober hingga Disember 2021.

“Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 supaya sentiasa terbela”, jamin Perdana Menteri.

Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Keluarga Malaysia boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply