Pelantikan Ketua Menteri Sabah bukti GRS utamakan masa depan rakyat – Timbalan Presiden BERSATU

0

Kesepakatan bersama dalam mencalonkan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 adalah bukti kecintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti-parti politik melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap masa depan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melalui Timbalan Presiden, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan penghargaan dan penghormatan terhadap seluruh ADUN, kepimpinan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah, berlapang dada mencapai kesepakatan terbabit.

Dalam siaran media berkenaan, beliau turut menyatakan perkembangan ini adalah dinamika baharu politik negara yang menjadi tanda aras kematangan ahli-ahli politik GRS dalam memastikan sahsiah politik terus dijunjung sebagai wadah perjuangan untuk menyatukan rakyat dan membina negara.

“Pelantikan Ketua Menteri Sabah ke-16 dan pembentukan Kerajaan Negeri GRS juga adalah kemenangan buat rakyat Sabah yang telah membuat keputusan melalui proses demokrasi yang berlangsung dengan penuh tertib dan telus mengikut ruang lingkup undang-undang pilihan raya.

“Pilihan Raya Negeri Sabah telah berakhir dan ini adalah masanya untuk membentuk sebuah pentadbiran Kerajaan Negeri yang kukuh untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, menunaikan semua Aku Janji GRS bagi membalas kepercayaaan para pengundi serta rakyat Sabah.

“Kita yakin dan percaya, kesepakatan yang telah dibuktikan oleh para ADUN dan kepimpinan parti- parti dalam GRS adalah satu permulaan baharu kepada sebuah kerjasama politik yang benar-benar memberi perhatian kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri, khususnya dalam keadaan kita masih berperang melawan penularan pandemik COVID-19,” ujar beliau.

Beliau juga percaya dengan komitmen jitu Perdana Menteri bersama kepimpinan Kerajaan Persekutuan untuk memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji serta rakan-rakan seperjuangan dalam GRS, rakyat negeri Sabah akan mendapat pembelaan dan menikmati kesinambungan pembangunan yang selayaknya di bawah semangat federalisme.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Warisan Plus kerana menghormati keputusan rakyat memilih Kerajaan Negeri melalui proses pilihan raya dan memastikan proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply