Pelancongan kesihatan dibenarkan sepanjang PKPP, perlu daftar dengan MHTC

0

Seperti diumumkan sebelum ini, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri telah bersetuju membenarkan kemasukan warganegara asing ke Malaysia bagi tujuan perubatan (healthcare travellers).

Memetik kenyataan Menteri Kanan Keselamatan, Dato’ Seri Ismail Sabri berkata, fasa pertama pelaksanaan kebenaran ini terpakai dalam tempoh PKPP dan sekatan perjalanan antarabangsa yang sedang berkuatkuasa.

“Bagi fasa 1A, hanya kes evakuasi perubatan (medical evacuation) sahaja yang dibenarkan dan ini melibatkan pesakit kritikal yang memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau Unit Dependensi Tinggi (HDU).

“Bagi fasa 1B pula, kebenaran ini melibatkan pelancong kesihatan yang mempunyai masalah kesihatan yang serius seperti penyakit barah (oncology), jantung (cardiology) dan penyakit-penyakit lain.

” Walau bagaimanapun, bagi warganegara asing yang terlibat perlu mendapatkan surat temujanji terlebih dahulu daripada Hospital yang berdaftar dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC),” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, kebenaran bagi fasa pertama ini hanya bagi perjalanan ke Malaysia melalui laluan udara dengan seorang penjaga dibenarkan untuk dibawa bersama.

Bagi pesakit di bawah umur 12 tahun pula, mereka dibenarkan untuk membawa dua orang penjaga dan penjaga perlu berada dalam bilik yang sama dengan pesakit sepanjang tempoh rawatan.

Warganegara asing yang ingin ke Malaysia bagi rawatan, selain daripada membuat temujanji, mereka perlu menjalani saringan COVID-19 tiga hari sebelum masuk ke pintu sempadan negara dan melengkapkan syarat pra-kemasukan termasuk bayaran kos perubatan serta memuat turun aplikasi MySejahtera.

Setibanya di Lapangan Terbang, pengangkutan ke hospital perlu diurus oleh pihak hospital dan MHTC.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply