Pelan Pemulihan Negara beri sinar lebih jelas kepada rakyat – Dr Abd Latiff Ahmad

0

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berkata Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri semalam mampu memberi rakyat sinar lebih jelas untuk memerangi Covid-19 sekaligus memulihkan kehidupan dan ekonomi.

“Kita berperang dengan musuh yang tidak nampak lebih setahun lamanya. Namun dengan adanya vaksin, kehidupan dan ekonomi mampu diselamatkan melalui Pelan Pemulihan Negara seperti dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam” katanya.

Datuk Dr Latiff yang juga merupakan pengamal perubatan turut mengingatkan rakyat akan kepentingan vaksin sebagai benteng sistem imun badan dalam mengurangkan kebolehjangkitan dan membolehkan kes positif COVID-19 berkurangan.

“Kepada rakyat semua, ingatlah vaksin memberi kita kekuatan melawan Covid-19 untuk kita kembali meneruskan kehidupan seperti biasa dan merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi negara.

“Semoga sinar kehidupan kita akan lebih jelas menerusi Pelan Pemulihan Negara yang telah dilancarkan untuk kesenangan kita bersama” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan agensi-agensinya telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat yang terkesan.

Inisiatif-inisiatif ini membabitkan sembilan agensi di bawah KPLB termasuk MARA, KEMAS, RISDA, KEJORA, PERDA, KESEDAR, KETENGAH, KEDA dan JAKOA.

Tambah Datuk Dr Latiff, dengan adanya inisiatif berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat sekaligus membantu dalam menghadapi PKP 3.0.

KPLB katanya akan sentiasa memantau dan memastikan kebajikan rakyat terutama di luar bandar terjamin.

Pada Selasa lalu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan tiga indikator utama Pelan Pemulihan Negara.

Ia sebagai strategi keluar daripada Covid-19 dengan sasaran rakyat dapat kembali kepada kehidupan harian biasa menjelang akhir tahun ini.

–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply