Pelan kerajaan tangani Covid-19 betul

0

Kerajaan selama ini telah melakukan usaha dan perancangan yang betul dalam menangani Covid-19.

Ia dibuktikan dengan pencapaian menghampiri 90 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap divaksinasi yang membolehkan pergerakan rentas negeri dibenarkan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia terutamanya dalam mengurus program vaksinasi negara, seterusnya membuka sektor sosial dan ekonomi secara terancang dan selamat.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri ke-8 berkata, trend jangkitan COVID-19 kini juga menunujukkan penurunan dan boleh lihat berdasarkan penurunan dalam jumlah kes kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Alhamdulillah, berkat usaha semua pihak terutama di pusat pemberian vaksin (PPV) mega ini, populasi dewasa di Lembah Klang telah berjaya divaksinasi lebih awal daripada jangkaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, semakin banyak PPV bakal ditutup secara berperingkat apabila negara menghampiri sasaran vaksinasi negara yang akan menjangkaui 90 peratus populasi dewasa di Malaysia tidak lama lagi.

Ujar beliau, ini bermula dengan PPV Mega World Trade Centre KL (WTCKL) di sini, yang akhirnya melabuhkan tirai, dua minggu lalu selepas berjaya memberi 1.2 juta dos vaksin sepanjang 150 hari beroperasi, sejak dibuka kepada penduduk di Lembah Klang, pada 5 Mei lalu.

“Saya sendiri sempat melawat PPV Mega pertama di negara ini sewaktu mula dibuka. Saya masih ingat ketika itu, betapa kagumnya saya dengan proses vaksinasi yang lancar dan teratur walaupun dibuat pada skala besar.

“Walaupun pembukaan PPV Mega ini pada mulanya dikritik sesetengah pihak, namun kerajaan di bawah kepemimpinan saya ketika itu memutuskan untuk mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di bawah Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Ia bagi memastikan vaksinasi dapat diberikan secepat mungkin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu,Tan Sri Muhyiddin turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pasukan sukarelawan yang menjayakan PICK.

Katanya, jasa dan pengorbanan pihak berkenaan menjadi bukti jelas semangat juang dan kecekalan rakyat Malaysia masih utuh dalam mendepani cabaran cukup getir.

Beliau juga menyeru semua rakyat Malaysia agar terus menumpukan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Jutaan terima kasih juga kepada semua petugas di hospital seluruh negara dan barisan hadapan keselamatan yang masih terus memantau pematuhan SOP.

“Saya sentiasa berdoa agar anda semua diberi perlindungan dan dipermudahkan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada bangsa dan negara.

“Marilah kita mengambil langkah berjaga-jaga supaya pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur selaras hasrat PPN, insya-Allah,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply