Peguam perlu hadir ketika prosiding reman – Tun Tengku Maimun

0

Mulai 15 September ini, pegawai penyiasat hendaklah memastikan orang yang disyaki atau OYDS telah melantik peguam dan peguam itu telah dimaklumkan untuk hadir bagi pengendalian prosiding reman berkenaan.

Perkara itu termaktub dalam arahan amalan Ketua Hakim Negara bagi mengemas kini tatacara prosiding permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah, antaranya dengan memastikan suspek mempunyai peguam.

“Bagi OYDS yang tidak diwakili peguam atau tidak berkeupayaan melantik peguam, OYDS tersebut akan dimaklumkan oleh majistret akan hak OYDS untuk mendapatkan khidmat bantuan guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sekiranya OYDS seorang warganegara dan tidak disiasat di bawah mana-mana undang-undang pencegahan, penculikan dan melarikan orang,” katanya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Tun Tengku Maimun berkata, pengendalian prosiding reman hendaklah ditangguhkan ke suatu tempoh masa yang munasabah pada hari sama bagi membolehkan peguam hadir untuk mewakili OYDS.

Bagaimanapun, pengendalian prosiding permohonan reman akan diteruskan sekiranya OYDS tidak mahu diwakili peguam atau tiada peguam yang hadir setelah tempoh masa munasabah diberikan.

Katanya, sebelum permohonan reman didengar di hadapan majistret, pegawai penyiasat perlu memastikan dokumen berkaitan telah difailkan melalui sistem e-Kehakiman termasuk salinan diari siasatan yang lengkap dan OYDS hadir pada prosiding itu.

Selain itu, Tun Tengku Maimun berkata, OYDS perlu memaklumkan kepada majistret mengenai keadaan kesihatannya semasa prosiding permohonan reman.

“Sekiranya majistret mendapati bahawa OYDS memerlukan rawatan, pegawai penyiasat hendaklah memastikan bahawa OYDS itu dibawa ke hospital bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan yang sewajarnya,” kata beliau.

Beliau berkata sekiranya majistret tiada, permohonan reman membabitkan siasatan kesalahan jenayah yang boleh dihukum mati atau penjara untuk tempoh 14 tahun atau lebih, membabitkan OYDS yang merupakan individu berprofil tinggi, kes di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan kes berkepentingan awam, ia hendaklah dikendalikan oleh Majistret ex-officio.

“Majistret ex-officio adalah Hakim Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendaftar dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi (bagi permohonan reman di Semenanjung Malaysia), Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah atau mana-mana pegawai lain yang disenaraikan di bawah Jadual Keempat Akta Mahkamah Rendah 1948,” katanya.

Semua prosiding permohonan reman dikendalikan di mahkamah atau mana-mana pusat tahanan yang telah diwartakan untuk tujuan reman pada setiap hari termasuk cuti hujung minggu dan cuti umum.

Ketua Hakim Negara mengeluarkan arahan amalan bagi mengemas kini tatacara prosiding permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah, antaranya dengan memastikan suspek mempunyai peguam.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply