Peguam Haniff Khatri sangkal teori konspirasi Tun Dr Mahathir di belakang kes Yusoff Rawther

0
Foto: Astro Awani

Peguam mewakili Yusoff Rawther, Tuan Haniff Khatri hari ini menafikan bahawa wujud teori konspirasi Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir terbabit dan berada dibelakang kes Yusoff Rawther.

Menurut Tuan Haniff sebagai pengamal undang-undang swasta, beliau tidak berhak menolak daripada mewakili sesiapa sahaja melainkan dalam keadaan khusus seperti adanya kepentingan berkonflik ataupun jika boleh diaibkan secara profesional disebabkan kaitan terus dengan subjek perkara berkenaan.

“Saya adalah seorang pengamal undang-undang swasta. Ya, saya ada mewakili Tun Dr Mahathir sebelum ini, dan ada beberapa perkara yang saya masih kendalikan dalam beberapa fail peribadi beliau”

“Sebagai pengamal undang-undang swasta, kami tidak berhak untuk menolak daripada mewakili sesepihak dalam mana-mana perkara melainkan dalam keadaan khusus tertentu seperti dengan adanya kewujudan kepentingan berkonflik ataupun jika boleh diaibkan secara profesional disebabkan kaitan terus kami dengan subjek perkara berkenaan, yang mana bukanlah keadaan yang wujud dalam kes Yusoff Rawther ini, untuk membatalkan perwakilan profesional saya”, katanya kepada The Malaya Post.

Katanya lagi, meletakkan hujah pencipta teori konspirasi di tahap tertinggi sekali pun, fakta bahawa beliau berada di hadapan dalam mewakili Yusoff Rawther ini, semestinya bagaikan sudah terang lagi bersuluh Tun Dr Mahathir tidak terlibat dalam kes ini.

“Meletakkan hujah pencipta teori konspirasi di tahap tertinggi sekali pun, fakta bahawa saya berada di hadapan dalam mewakili Yusoff Rawther ini, semestinya bagaikan “sudah terang lagi bersuluh” pada hakikatnya bahawa Tun Dr Mahathir tidak mungkin berada di belakang perkara ini sama sekali, kerana jika tidak, nescaya keberadaan saya di barisan hadapan sudah pasti menjadi satu pendedahan jelas konspirasi itu, bukankah begitu?”

“Pada saya, kebolehan segolongan masyarakat kita untuk mencipta teori-teori konspirasi yang luarbiasa, kadang-kadang boleh menjatuhkan kebolehan hollywood dan Bollywood dan Kollywood, ke tangga kedua, ketiga dan keempat dalam kedudukan masing-masing!! Mungkin ada baiknya, golongan itu menggunapakai ciptaan teori masing-masing untuk pembikinan cerita wayang untuk memperolehi pulangan lumayan,” katanya.

Terdahulu Yusoff, 26, memberi keterangan selama lebih tujuh jam kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, berhubung dakwaannya berkaitan gangguan seksual melibatkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang tiba pada jam 1 tengahari itu dilihat bersama Peguam Haniff Khatri sebelum keluar dari perkarangan Bukit Aman pada kira-kira jam 9.15 malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

 

Leave a Reply