“Paul Yong, anda jangan fikir tentang kepentingan peribadi, sampai lumpuhkan kepentingan Kerajaan Negeri Perak” – Haniff Khatri

0

Susulan kes Exco Perak yang dituduh merogol pembantu rumahnya kemudian didakwa telah kembali bertugas tanpa restu DAP.

Peguam terkemuka negara Tuan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata jika benar, tindakan Paul itu akan melumpuhkan kepentingan Kerajaan Negeri Perak

“Sekali lagi saya tegaskan ia adalah amat tidak bertanggungjawab serta kepentingan sendiri dan biadab untuk Paul Yong Choo memikirkan bahawa beliau boleh dengan sendirinya umumkan dia kembali bertugas”.

Sedangkan katanya, yang berkuasa di bawah sistem kerajaan berdemokrasi untuk menentukan kedudukan mana-mana ahli Exco Kerajaan Negeri Perak, samada boleh kembali bertugas ataupun tidak, adalah Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu sahaja.

Tambahnya Paul Yong perlu sedar bahawa Rakyat  Negeri Perak yang terjejas dengan isu Paul Yong ini berhak menuntut bahawa Kerajaan Negeri Perak dan Paul Yong hendaklah “Cakap serupa Bikin” ataupun “Walk the Talk” dalam urusan kedaulatan undang-undang.

Apatah lagi dalam keadaan pengundi di Selatan Tanahair, iaitu di PRK -TG PIAI secara nyatanya mewakili rakyat Malaysia memberi signal jelas kepada Kerajaan Pakatan Harapan untuk melakukan tugasan serta tanggungjawab dengan betul demi kepentingan umum.

“Hatta, saya sarankan agar Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dapat dengan serta merta memberhentikan sandiwara Paul Yong yang tidak langsung berkepentingan umum, malah merupakan tindakan biadab yang mencabuli kuasa dan hak Menteri Besar, dengan menggantung jawatan Paul Yong sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Perak dengan serta merta”, katanya.

Terdahulu Tuan Haniff telah menulis di facebooknya berkenaan saranannya supaya ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong yang juga merupakan Ahli Exco Perak segera mengambil cuti rehat sehingga Pertuduhan Jenayah yang beliau dihadapkan di mahkamah di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan selesai dibicarakan.

Ia mencakuki tiga sebab utama, iaitu :

Saranan cuti rehat itu adalah cuma berkaitan jawatan Ahli Exco Perak sahaja di mana perlantikannya merupakan kuasa prerogatif Menteri Besar dan bukannya cuti rehat sebagai ADUN Tronoh, sama sekali.

Dalam hal keadaan jawatan yang disandang oleh Yong Choo Kiong sebagai Ahli Exco Perak, prinsip “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah” (“innocent until proven guilty”) itu, wajib diimbangi dengan satu lagi prinsip iaitu kedaulatan undang-undang (rule of law).

Maksudnya, keutamaan adalah diletakkan kepada melindungi keseluruhan proses pertuduhan jenayah, serta perbicaraan dan keputusan mahkamah daripada dicemari persepsi masyarakat bahawa kononnya melalui jawatan yang disandang itu.

Tambah Tuan Haniff, tertuduh mempunyai kelebihan tidak wajar dalam proses undang-undang yang dihadapinya itu kelak.

Pun begitu persoalan terarah kepada bagaimanakah seorang individu yang menghadapi mana-mana pertuduhan jenayah dalam melalui tekanan emosi serta keperluan menyediakan diri untuk menghadapi proses perundangan di mahkamah yang semestinya mengambil masa, akan boleh melaksanakan tugasan awam yang penting sebagai Ahli Exco Perak itu, secara tekun dan baik?

Untuk rekod, Exco Perak Paul Yong mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumahnya.

Minggu lalu, beliau dikatakan secara berseorangan memutuskan untuk kembali bertugas kerana beliau pada mulanya bercuti secara sukarela.

Yong yang bertanggungjawab terhadap portfolio perumahan, kerajaan tempatan, pengangkutan awam, hal ehwal bukan Islam dan Kampung Baru, mula bercuti sejak 25 Ogos lalu.

Leave a Reply