Pasport vaksin bagi individu yang sudah menerima suntikan

0

Kerajaan berhasrat akan mengeluarkan dokumen secara fizikal iaitu pasport vaksin bagi individu yang sudah menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata perkara itu sedang diperhalusi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Kalau ikut perancangan, kita perlu lihat bagaimana negara-negara lain boleh bekerjasama untuk membangunkan pasport vaksin terutama sekali apabila kita ke luar negara.

“Ketika ini, jika ke Arab Saudi pun perlu ada Yellow Book (maklumat suntikan vaksin), oleh itu kita akan cuba berunding dengan negara-negara lain bagaimana kita boleh selaraskan mengenai pasport vaksin ini  di peringkat antarabangsa,” ujar beliau dalam sidang akhbar sempena acara ketibaan bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam perkembangan yang sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, beliau turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya di Singapura sebelum ini untuk membuat perakuan bersama atau peringkat serantau supaya satu sijil vaksinasi universal boleh dilaksanakan.

Menurut beliau, pada masa ini proses vaksinasi sedang berjalan, dan tindakan susulan akan dilakukan yang mana menetapkan beberapa syarat itu kepada mereka yang menggunakan lapangan terbang negara di samping pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) .

“Begitu juga bila sampai negara lain mereka (pengembara) mungkin tidak tertakluk dengan kuarantin lagi.

“Jadi ini antara perkara yang akan dilihat sekali gus menghidupkan semula sektor penerbangan di Malaysia selain kawasan serantau juga,” katanya.

Sidang akhbar terbabit turut disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply