PAS ajak rakyat bersama Perikatan Nasional

0

PAS mengajak semua kumpulan Islam untuk bersama dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata ia adalah tawaran baharu yang disifatkan ‘berintegriti dan berkebajikan yang berpijak atas Perlembagaan Persekutuan’ serta meraikan masyarakat majmuk pelbagai agama dan bangsa.

Ia juga sejajar dengan kepimpinan PAS yang mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“PAS mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.

“Selain itu juga bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa”, katanya dalam satu kenyataan di laman facebooknya bertajuk Minda Presiden,  PAS : Budaya Politik Matang Sejahtera, BPMS.

Tambahnya, PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal di mana matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.

“PAS menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini”, katanya.

Ujar beliau, PAS menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa.

“PAS menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat.

“Marilah bersama tawaran baharu ini iaitu berintegriti dan berkebajkan yang berpijak atas Perlembagaan Persekutuan yang meraikan masyarakat majmuk beragama dan berbangsa”, katanya. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply