BANJIR DI PANTAI TIMUR : Paras air semakin meningkat, banjir dibeberapa kawasan sasaran masih terkawal

0

Purata hujan di negeri Terengganu dilaporkan semakin meningkat dan para penduduk di kawasan sasaran banjir berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Sehingga kini, dilaporkan banjir di kawasan Kota Putera, Besut masih lagi terkawal walaupun paras air semakin meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, berkata perumahan dikawasan rendah dan berhampiran sungai adalah menjadi tumpuan kawasan yang dilanda banjir.

“Setakat ini hanya dua penempatan pusat pemindahan sementara yang dibuka iaitu di Kampung Pinang dan Kampung Raja,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Kota Putera berkata ibu bapa perlu sentiasa memantau anak-anak bagi menjaga keselamatan dan mengelakkan musibah yang berlaku pada waktu banjir.

“Penduduk perlu pindah ke kawasan lebih selamat jika paras air naik mendadak untuk mengelakkan berlaku insiden buruk yang menjejaskan keselamatan penduduk.

Ini kerana jika berlaku hujan tidak hairan keadaan banjir akan berubah dan air kemungkinan akan naik lebih tinggi,” jelasnya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa banjir dengan kerjasama agensi seperti Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), NADMA dan agensi-agensi lain yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan kebajikan mangsa terjaga dari segi penempatan, makanan, perubatan dan sebagainya mencukupi.

Disamping itu, penduduk yang menetap di kawasan rendah dan pernah dilanda banjir dinasihatkan mengambil langkah lebih waspada.

Leave a Reply