Pakatan Harapan calon Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8

0

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan daripada KEADILAN, DAP dan Amanah memilih Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-8.

Pakatan Harapan dalam satu kenyataan media berkata sejak cubaan untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang berlalu hujung minggu lalu, mereka berusaha mempertahankan mandat rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018.

“Kerajaan tersebut terbentuk sebagai sebuah gabungan yang diikat dengan Muafakat Pakatan Harapan yang telah dicapai pada 7 Januari 2018 diikuti dengan pelancaran Buku Harapan (Manifesto) Pakatan Harapan pada 8 Mac 2018.

“Di atas asas tersebut Pakatan Harapan dibentuk, diberi mandat oleh rakyat dan menjalankan amanah sebagai kerajaan oleh sebab itu Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan secara pintu belakang.

“Ekoran cubaan menubuhkan kerajaan secara pintu belakang, Tun Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Keputusan BERSATU keluar dari Pakatan Harapan pada Isnin lalu disusuli peletakkan jawatan Tun sebagai Pengerusi BERSATU,” katanya.

Berbicara lanjut, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menjemput Tun Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat bagi memulihkan kerajaan Pakatan Harapan namun Tun Dr Mahathir tidak bersetuju untuk hadir dalam mesyuarat terbabit pada hari Selasa, 25 Februari lalu.

Justeru itu, keputusan Majlis Presiden semalam telah menetapkan bahawa calon Perdana Menteri Pakatan Harapan ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim malah Pakatan Harapan kekal komited terhadap aspirasi dan amanat rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari segenap sudut ekonomi, politik dan sosial dan mereka tidak akan mengkhianati amanah tersebut.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply