P.Ramlee suka memasak dan gunting rambut

0

Karya seni Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh tetap segar dalam ingatan umum malah Allahyarham turut diminati anak-anak muda generasi baru.

Bakat seni Allahyarham begitu terserlah dan berbeza sehingga berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Namun, tahukah anda Allahyarham juga mempunyai minat dan hobi lain?

Memetik perkongsian Facebook Mengenali Artis Lama, salah seorang anaknya Allahyarham Nasir P.Ramlee pernah mendedahkan ayahandanya sangat suka memasak dan menggunting rambut.

“Walaupun bapa saya terkenal sebagai pelakon, pemuzik dan pengarah, tetapi ada dua kegemaran atau hobinya.

“Kegemaran ini agak istimewa iaitu yang pertamanya dia suka menggunting rambut dan perkara yang kedua, dia juga memasak di dapur.

Tambahnya, semasa di Singapura, pelakon dan pelawak Ahmad C yang menjadi tukang gunting Allahyarham.

“Bapa saya hanya menggunting rambut anak-anaknya dan kadang-kadang anak-anak buah.

“Rambut saya habis dibelasahnya, hendak bersuara tidak boleh. Jadi terpaksalah ikut apa sahaja gaya yang dia suka. Kadang-kadang sampai nampak kulit kepala dan dalam hati saya berkata, bukanlah lebih baik dibotakkan sahaja.

“Pernah dia menggunting rambut saya dari jam empat petang sampai ke waktu Maghrib sehinggakan saya menangis”, kongsinya lagi.

Satu lagi hobi Allahyarham ialah memasak. Setiap hari minggu kalau tidak ada apa-apa program, Allahyarham akan sibuk di dapur.

“Pada satu hari, saya bertanya ibu tiri saya Saloma sama ada daddy keluar ke hari ini, jadi boleh saya berehat.

“Tetapi kalau dia ada rumah, saya terpaksa keluar sebelum dia bangun. Kenapa saya hendak lekas-lekas keluar, kerana hari itu dia akan memasak di dapur, dan masakannya pula pelik-pelik.

“Antara nama-nama masakan yang diberinya ialah masakan kari Bugis, lemak London, kari ikan kering Itali, Soto Semerah Padi dan banyak lagi nama-nama masakannya yang luar biasa dan pelik-pelik belaka”, katanya mengimbau kenangan.

Tambahnya lagi, semasa di studio Jalan Ampas, Singapura, apabila petang ‘mamak mee’ akan datang dengan basikal tolaknya untuk menjual mee goreng.

“Mamak tu dah faham, kalau bapa saya hendak makan mee goreng dia akan menyerahkan segala-galanya kepada bapa saya, dan bapa saya yang akan menggoreng sendiri.

Begitu juga jika Allahyarham memasak di rumah, tidak ada orang yang boleh mengganggu dan turut campur di dapur.

“Setelah selesai, dia menyuruh kami mengambil pinggan atau mangkuk masing-masing sambil beratur dan dia akan meletakkan mee itu ke dalam pinggan kami. Kemudian semua duduk keliling bersama dia makan di ruang rumah.

“Ketika inilah dia akan bertanya ‘Sedap tak?’ Kalau tak sedap pun mesti bilang sedap. Sebenarnya, memang tak sedap.

“Yang ganjilnya kalau kita kata sedap, dia akan tambah lagi ke pinggan kita. Aduh, kadang-kadang saya rasa macam terseksa dalam tahanan,” kongsinya di akhir bicara. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply