OPS CATUT 8.0 : Premis komputer, gajet dipantau KPDNHEP – Rosol Wahid

0

Kemudahan capaian internet dan gajet merupakan keperluan asas bagi proses Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terutama saat negara masih berdepan ancaman COVID-19 yang memerlukan semua pihak berganding bahu memutuskan rantaian wabak pandemik ini.

Namun, jika harga gajet komunikasi seperti telefon pintar, tab dan komputer riba mencatatkan kenaikan harga rentetan permintaan yang meluas ianya merupakan cabaran terbesar kepada ibu bapa terutama kepada golongan kurang berkemampuan dalam memastikan PdPR berjalan lancar.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid melakukan tinjauan bagi memantau penjualan perkakasan komputer telekomunikasi dan gajet di Plaza Low Yat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur sempena pelaksanaan OPS CATUT 8.0.

“Saya ke Plaza Low Yat, di Bukit Bintang Kuala Lumpur tadi meninjau dan memantau penjualan perkakasan komputer, telekomunikasi dan gajet sempena pelaksanaan OPS CATUT 8.0 bermula 25 Januari 2021,” tulis beliau di laman Facebook miliknya.

Memandangkan gajet dan komputer riba merupakan alat pemudah cara bagi para pelajar mengikuti kelas secara online di rumah, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) giat melakukan pemantauan agar peniaga tidak mengambil peluang di atas permintaan meluas terhadap barangan elektronik berkenaan.

“Kita tahu dengan situasi norma baharu di mana pembelajaran dan pengajaran di rumah kini menjadikan komputer riba, tablet, telefon bimbit dan mesin cetak menjadi keperluan penting.

“Apatah lagi jika di sesebuah rumah itu, jumlah anak yang masih belajar ramai, pastinya wujud keperluan untuk membeli gajet ini untuk kemudahan anak belajar.

“Disebabkan permintaan meningkat, OPS CATUT 8.0 ini digerakkan bagi memantau peniaga supaya tidak menaikkan harga barangan ini,” kongsi beliau.

Menurut beliau kira-kira 130 premis membabitkan 262 item barangan kelengkapan elektronik dan komunikasi telah diperiksa.

“Hasil pemantauan berkenaan, 130 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat berhubung harga dan kos belian barangan dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen mencatut.

“Saya berharap, peniaga tidak mengambil kesempatan dan pengguna juga mainkan peranan untuk buat laporan kepada KPDNHEP jika ada peniaga yg cuba mengaut keuntungan berlebihan supaya tindakan boleh segera diambil,” ulas beliau lanjut ketika dihubungi.

Ketua Setiausaha, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Pengarah Penguatkuasa, Azman Adam dan Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Ariffin Samsudin turut hadir menjayakan OPS CATUT yang dilakukan semalam.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply