Olimpik 2020 : Terima Kasih Dato’ Azizulhasni Awang, pingat perak untuk Malaysia

0

“Saya sudah buat yang terbaik untuk keluarga, untuk rakyat Malaysia dan untuk sukan negara kita.

“Penuh suka dan duka. Tapi inilah sukan. Ada ‘up and down’. Ada ketika kita nak menang tapi benda tak boleh nak kawal”, kata Dato’ Azizulhasni Awang.

Inilah ucapan pelumba acara trek basikal negara, Dato’ Azizulhasni Awang berhubung pencapaian pingat perak yang dimenanginya menerusi Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun.

Dato’ Azizul sudah mengerah sepenuh tenaga dengan memberikan yang terbaik, namun percaturan Jason Kenny gagal dikekang yang akhirnya menyaksikan pelumba Britain itu merangkul emas manakala gangsa menjadi milik juara dunia, Harrie Lavreysen dari Belanda.

Pujian harus diberi kerana ia bukan satu perjalanan mudah buat Dato’  Azizul yang terlalu banyak berkorban demi memastikan emas berjaya dimiliki negara.

“Saya nak rakyat Malaysia tahu, dari awal sampailah ke final saya beri lebih daripada yang terbaik.

“Masa saya kayuh tadi saya teringat anak saya di Melbourne, isteri saya, mak saya, ayah saya.

“Dari saya umur 15 tahun saya tinggal kampung, mak saya tinggal seorang. Masa saya terbang ke Tokyo, saya dapat tahu ayah saya masuk hospital di serang mild strok.

“Tapi adik-beradik saya mahu saya fokus Olimpik. Saya tiada pilihan, saya fikirkan tanggungjawab saya kepada negara.

“Masa saya kayuh saya ingatkan mereka semua, saya harap mereka semua tak kecewa dengan keputusan ini,” katanya dalam nada sebak.

Namun dalam keadaan duka itu, Dato’  Azizul diberikan khabar gembira bahawa dia bakal menimbang cahaya mata ketiga. Sedikit sebanyak perkhabaran ini pasti mengubat kekecewaannya itu.

Ditanya adakah dia akan terus bersama negara pada Olimpik Paris 2024, Dato’ Azizul berkata memang itu perancangannya. Namun buat masa ini, dia memohon untuk diberi masa bertenang dan berehat terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Tahniah dari The Malaya Post.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply