NGO urus jenazah mangsa COVID-19, semoga dipermudahkan…

0

IPOH : Pandemik COVID-19 sudah meragut 2,650 nyawa setakat kelmarin yang turut merekodkan angka kematian harian tertinggi sebanyak 98 kes.

Kadar kematian yang tinggi ini memberikan kesan kepada pengurusan jenazah, memandangkan hanya pasukan khusus boleh melaksanakan proses itu, dan di daerah ini, tanggungjawab berkenaan turut dipikul oleh pertubuhan Amal Team Ipoh.

“Kami sentiasa cuba menguruskan jenazah itu seperti kami menguruskan ahli keluarga sendiri kerana membayangkan kesedihan waris yang tidak dibenarkan terbabit, mahupun berada berdekatan liang lahad,” kata wakil badan bukan kerajaan (NGO) itu, Syahriman Shaari.

Lapor Bernama, menyedari kesedihan ahli keluarga tidak dapat menguruskan sendiri jenazah orang kesayangan, beliau berkata, mereka juga merakamkan video semasa pengebumian dengan kawalan ketat polis itu, bagi dikongsikan dengan waris.

“Kami cuba buat yang terbaik dan kemudian berkongsikan rakaman video pengebumian dengan waris kerana sepatutnya urusan ini dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.

“Pelbagai suasana menyedihkan dapat dilihat, termasuklah ada yang tidak dapat menerima kenyataan hingga menjerit-jerit,” katanya.

Menceritakan proses pengurusan jenazah COVID-19, Syahriman berkata, sebaik dimaklumkan oleh pihak hospital, mereka akan ke jabatan forensik hospital bagi mempersiap jenazah, termasuk melaksanakan tayammum dan solat jenazah, sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

“Kamilah yang turunkan jenazah ke dalam liang lahad dan selepas itu kami semburkan cecair pembasmi kuman dan timbus kubur. Kemudian kami sembur cecair pembasmi kuman lagi di atas kubur dan kawasan berhampiran,” katanya.

Syahriman berkata, proses itu dilaksanakan bersama-sama enam lagi ahli Amal Team Ipoh dan Kementerian Kesihatan.

Katanya, badan itu sudah menguruskan lebih 20 jenazah COVID-19 di seluruh Perak dengan sebahagian besarnya di Ipoh.

Antara cabaran yang beliau tidak lupakan ketika menguruskan jenazah COVID-19 ialah hujan lebat menyebabkan air bertakung di dalam liang lahad, selain khemah diterbangkan angin ribut.

“Kami mengambil masa selama sejam hanya untuk membuang air yang bertakung sebelum jenazah dikebumikan,” katanya.

Mengakui wujud kebimbangan dirinya dijangkiti virus maut itu, Syahriman berkata, beliau hanya bertawakal kepada Allah selepas mempersiap diri dengan memakai pakaian perlindungan diri serta menjalani proses nyahcemar setiap kali selesai menguruskan korban COVID-19.

“Nasihat kami kepada semua ialah jangan pandang ringan jangkitan COVID-19 ini. Patuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya.

Amal Team Ipoh merupakan NGO yang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma untuk keluarga asnaf bagi mengurangkan beban mereka, manakala operasinya dibiayai menerusi sumbangan orang ramai.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply