Nazmizan gesa siasatan menyeluruh kes doping atlet remaja

0

Berhubung kes atlet muda olahraga yang berusia 17 tahun disyaki positif doping, kini bekas pelari pecut Nazmizan Mohamad tampil dan menggesa supaya siasatan berhubung kes tersebut dapat dilakukan secara menyeluruh.

Menurut Nazmizan, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) harus melakukan siasatan lebih mendalam sebelum hukuman dimuktamadkan kerana perkara tersebut merupakan satu tamparan besar buat sukan olahraga terutamanya di peringkat akar umbi, sekolah sukan di Malaysia

“Siasatan menyeluruh yang dimaksudkan termasuklah mengkaji sejarah (karier) atlet berkenaan,” kata Nazmizan yang juga pemerhati bebas sukan olahraga di Malaysia. “Dia berlatih dengan siapa sebelum ini?. Jadi, kaji sebarang kemungkinan.

“Kita tak boleh menyalahkan jurulatih juga, kerana mungkin (bahan terlarang) itu diperoleh daripada sumber yang tidak diketahui. Pada masa saya dulu, makanan tambahan semuanya dibekalkan jurulatih, ISN (Institut Sukan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara). Jadi banyak kemungkinan boleh berlaku.”

Semalam, seorang atlet pecut muda negara yang baharu berusia 17 tahun dilaporkan bakal berdepan hukuman penggantungan empat tahun selepas sampel air kencingnya didapati positif bahan terlarang ketika menyertai Kejohanan Tertutup KOM 2019 pada Ogos.

Menurut Presiden KOM Datuk S. M. Muthu berkata, atlet lelaki tersebut menggunakan dua bahan terlarang iaitu methasterone dan oxymetholone – sejenis steroid androgenik anabolik. Atlet tersebut beraksi dalam acara 4×100 meter.

Pada 26 Disember lalu dan semalam pihak KOM sudah memanggil atlet berkenaan dan seorang jurulatih kebangsaan bagi sesi pendengaran pertama.

Menurutnya, kedua-dua individu ini akan dipanggil semula minggu depan untuk sesi siasatan kedua.

Sekiranya bersalah, hukuman gantung selama empat tahun daripada menyertai sebarang kejohanan dalam dan luar negara bakal dikenakan sekali gus memberi impak negatif kepada sukan olahraga domestik.-THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel
Untuk perkembangan berita dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply