Eksklusif : Nafi sertai DAP, letak jawatan kerana masalah peribadi dan mahu tumpu kepada kerjaya serta keluarga – Mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia

0

Ahmad Badrul Hisham Mukhatar hari ini tampil menafikan sekeras-kerasnya spekulasi dan khabar angin mengatakan dia meletak jawatan sebagai anggota Exco Pemuda UMNO Malaysia kerana menyertai parti DAP.

“Segala berita yang diuar-uarkan tidak benar. Saya menafikan segala berita yang tular itu.

“Jika saya sertai dap sudah lama tularnya borang keahlian DAP saya dan kegiatan saya bersama parti itu.

“Tidak pernah seumur hidup saya menyertai ahli DAP. Saya ingin keluar dari semua kegiatan politik dan tiada kena mengena dengan pihak ketiga atau tekanan dari mana-mana pihak,” ujarnya.

Ketika dihubungi oleh Editor The Malaya Post, Ahmad Badrul Hisham memberitahu pengundurannya dari dunia politik adalah kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada perniagaan dan keluarga.

“Saya melepaskan jawatan sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia kerana masalah peribadi dan ingin menumpukan kepada kehidupan peribadi saya, kerjaya, keluarga, dunia dan Akhirat.

“Saya harap tiada lagi yang membawa fitnah  yang boleh memudaratkan aib terhadap keluarga, sahabat, pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.

“Jangan membawa berita yang tidak benar. Sesungguhnya fitnah ini boleh mengaibkan orang yang tidak bersalah, kasihan keluarga, sahabat-sahabat serta Ketua Pemuda Malaysia yang tiada kena mengena dengan isu yang dibawa,” tambahnya.

Dalam pada itu, dia menambah walaupun membuat keputusan untuk tidak aktif lagi dalam dunia politik, dia yang masih memegang jawatan Exco Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu berharap Muafakat Nasional dapat diadaptasi dengan lebih cemerlang supaya dapat mengembalikan pemerintahan Islam pada masa akan datang.

“Walaupun saya tidak berada dalam ‘circle’ politik lagi, tapi saya mengharapkan yang lebih baik untuk saudara-saudara islam yang lain melalui Muafakat Nasional.

“Saya juga berharap, penggiat politik lebih menumpukan kegiatan politik masing-masing tanpa membawa fitnah yang boleh menghancurkan  umat Islam yang lain.

“Dengan apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Saya masih sayangkan UMNO, cuma ingin keluar dari jawatan untuk memberi laluan pada yang lebih haq,” katanya.

Terdahulu, hangat satu perkhabaran politik di negeri Terengganu apabila seorang anggota Exco Pemuda UMNO Malaysia telah meletak jawatan secara mengejut dan dikatakan menyertai parti DAP.

Spekulasi semakin hangat diperkatakan apabila Ahmad Badrul Hisham tidak lagi kelihatan dan muncul di mana-mana program politik diperingkat bahagian mahupun pusat.

Leave a Reply