MyKasih Kapital untuk 2,000 penerima yang layak

0

Kerajaan akan menyediakan suntikan modal perniagaan yang dikenali sebagai MyKasih Kapital dengan modal maksimum RM1,000 kepada sekurang-kurangnya 2,000 penerima yang berkelayakan.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, insentif tambahan kepada insentif sedia ada itu antara lain adalah untuk kegunaan dalam bidang e-dagang ataupun dropship.

Selain itu, kerajaan juga akan menubuhkan ‘Skuad WAJA’ yang melibatkan penyertaan komuniti wanita demi memberi sokongan psikososial dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu jenayah.

“Penubuhan skuad ini bertujuan menghentikan keganasan terhadap wanita dan memperkasa pengetahuan umum mengenai hak-hak wanita,” katanya pada penyampaian perutusan Hari Wanita 2021 di Facebook Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menyarankan agar Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia melihat kesesuaian pemerluasan kemudahan Bekerja Dari Rumah (BDR) untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh bagi kakitangan yang perlu menjaga ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir.

“Ini bagi menggalakkan ‘shared responsibility’ dan membolehkan wanita kekal dalam sektor pekerjaan serta meningkatkan produktiviti kerja.

“Selain itu, saya juga telah meminta dikaji sekiranya kemudahan BDR ini dapat dipanjangkan kepada wanita atau lelaki yang kematian pasangan bagi membolehkan mereka menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan kematian yang lazimnya memerlukan masa agak lama untuk diselesaikan,” katanya lagi.

Perdana Menteri dalam pada itu menyambut baik cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun supaya Model Pemerkasaan Wanita menjadi pemacu pembangunan wanita di negara ini.

“Saya menyeru semua pihak untuk sama-sama mengembleng tenaga dalam menjayakan agenda ini agar semua wanita dapat diperkasakan secara inklusif.

“Dengan inisiatif ini lebih ramai wanita bangkit mendepani cabaran semasa,” katanya.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply