MTIB lancar Dapur Prihatin bantu mangsa banjir

0

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) hari ini melancarkan ‘Dapur Prihatin MTIB’ sebagai stor makanan untuk warga kerja MTIB dan masyarakat setempat yang terkesan akibat banjir di Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Selangor.

Pengerusi MTIB, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata kepada The Malaya Post, Dapur Prihatin MTIB yang beroperasi mulai hari ini membantu menyediakan makanan panas, di samping menyalurkan barangan keperluan harian dan kesihatan untuk penduduk setempat.

“Semasa saya dan sukarelawan banjir MTIB menghantar bantuan, terdapat keluhan dari mangsa-mangsa banjir yang sukar mendapat akses makanan.

“Justeru, Dapur Prihatin ini diharap dapat menyelesaikan masalah mangsa banjir setempat yang sukar untuk mendapat makanan di luar ekoran jalan rosak, tiada pengangkutan dan jarak pusat bantuan bencana yang jauh. InsyaAllah, kita akan mulakan segera,” katanya kepada The Malaya Post.

Tambah beliau, sukarelawan MTIB akan membeli barang keperluan bagi diletakkan di Dapur Prihatin MTIB.

“Dengan kewujudan Dapur Prihatin ini semua penduduk memperoleh manfaat dan mereka tidak dihantui kebimbangan terputus makanan kerana kerja-kerja memasak dan menyediakan makanan akan dilakukan di kawasan berkenaan.

“Penduduk yang memerlukan boleh datang mengambil apa sahaja barangan keperluan yang diperlukan mereka seperti beras, tepung, gula, buah-buahan dan milo.

“Bekalan ubat-ubatan dan bekalan susu untuk anak-anak juga disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Hishamuddin yang baharu sahaja dilantik sebagai Pengerusi MTIB bulan ini turut menyerahkan sumbangan peribadi berupa 100 kotak makanan kepada mangsa banjir termasuk 18 warga kerja MTIB.

Penyerahan dibuat ketika sesi turun padangnya di Hulu Langat siang tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah MTIB, Mahpar Atan, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi) MTIB, Kamaruzaman Othman dan Timbalan Ketua Pengarah ( Pembangunan dan Komersial) Roslina Haji Idris.

“Sebak dan pilu rasa di hati melihat keadaan masyarakat di sana. Saya melihat sendiri bagaimana rumah penduduk rosak serta dipenuhi lumpur, mereka bertungkus lumus membersihkan rumah sejak beberapa hari yang lepas.

“Bantuan awal kepada warga kerja MTIB yang terkesan dan penduduk daripada pihak MTIB yang diserahkan adalah dalam bentuk wang tunai, makanan kering dan barangan basah bagi keperluan memasak.

“Semoga misi kecil kami di MTIB ini dapat membantu meringankan sedikit beban mereka yang terkesan,” katanya.

Misi bantuan bencana MTIB akan diteruskan lagi hari ini, 24 Disember 2021 (Jumaat) ke kawasan-kawasan seperti Sg Buloh, Puchong dan Klang.

–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply