Tuesday, April 16, 2024
Home BERITA MPN cadang buka sempadan negara untuk pelancong, kuarantin dipendek

MPN cadang buka sempadan negara untuk pelancong, kuarantin dipendek

0
Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan kepada kerajaan untuk membuka sempadan negara dengan selamat untuk tujuan pelancongan kepada warga asing yang lengkap vaksinasi COVID-19.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MPN turut mencadangkan agar kerajaan memansuhkan atau memendekkan tempoh kuarantin warga asing yang tiba dari luar negara.

Katanya, cadangan tersebut dijangka dibincangkan dalam jawatankuasa yang dipengerusi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini.

“Ini satu perkembangan positif dalam proses pembukaan sempadan negara yang saya pasti akan merancakkan semula kegiatan ekonomi terutamanya sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa, peruncitan dan lain-lain, di samping mempermudahkan urusan pelawat perniagaan dan pelawat sosial,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin berkata beliau telah diberi taklimat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan berpuas hati dengan perkembangan dicapai, khususnya dari segi penurunan kes positif harian, penggunaan katil wad unit rawatan rapi bagi merawat pesakit Covid-19 dan kadar vaksinasi populasi dewasa yang tinggi pada masa ini.

Katanya pembukaan sempadan negara akan membolehkan rakyat Malaysia ke luar negara tanpa peraturan yang menyulitkan, manakala pelawat sosial dan pelancong asing boleh datang ke negara ini dengan mematuhi syarat ditetapkan.

Ditanya bila perkara berkenaan akan dapat dimuktamadkan, Tan Sri Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan bahawa perkara itu akan dibincang dan dipertimbang dalam mesyuarat kerajaan hari ini.

“…kerana pembukaan sempadan antarabangsa ini sudah dipertimbang lama dan dikira sudah sampai masa selepas rentas daerah dan rentas negeri dibenarkan,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply