MPN bincang isu pengurangan gaji dan pengangguran Isnin ini

0

Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan membincangkan masalah pengurangan gaji dan isu pengangguran dalam kalangan siswazah Isnin ini.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu itu sudah menjadi tumpuan utama dalam negara kesan daripada Covid-19 yang menyebabkan ramai tidak bekerja atau diberhentikan.

“Perkara itu antara langkah kerajaan di bawah saya dahulu dan perlu diteruskan bagi membantu pekerja menjaga pekerjaan mereka selain memberikan subsidi kepada majikan bagi memastikan mereka tidak memberhentikan pekerja.

“Bagaimanapun pengangguran dalam kalangan siswazah tidak hanya berlaku ketika pandemik Covid-19 tetapi isu sudah lama,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh pada Jumaat.

Tan Sri Muhyiddin berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskannya serta mencapai objektif dalam menjana 500,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan sebagaimana beliau.

Objektif tersebut katanya, disasarkan semasa beliau mempengerusikan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) sewaktu menjadi Perdana Menteri.

“Saya percaya kita semakin dekat dengan sasaran kerana Malaysia ada banyak peluang pekerjaan dan ini tidak mempertimbangkan pelaburan baharu yang masuk ke negara ini.

“Pelaburan di Malaysia melonjak hingga 200 peratus daripada tahun lalu ia akan membantu menjana lebih banyak peluang pekerjaan dalam masa terdekat,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply