MITI sahkan rentas daerah, negeri ke tempat kerja tidak perlu surat polis

0

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan, pergerakan rentas daerah atau negeri bagi tujuan kerja tidak memerlukan surat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Apa yang diperlukan hanyalah kombinasi surat dikeluarkan MITI dan surat majikan atau surat MITI dan pas pekerja.

“Surat MITI ini juga tidak perlu dicop oleh PDRM. Rakan sekerja kami di PDRM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga maklum,” menurut MITI dalam satu kenyataan di Twitter.

Terdahulu Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran PDRM di seluruh negara tidak dibenarkan, berkuat kuasa esok hingga 6 Jun ini.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan ketika ini, syarikat dan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Bagi sektor ekonomi di bawah MITI dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), operasi mereka disokong oleh kelulusan MITI, manakala sektor lain adalah mengikut kelulusan kementerian masing-masing.

Di kawasan PKP, kapasiti kehadiran pekerja bagi kumpulan pengurusan yang dibenarkan adalah 30 peratus, manakala pekerja bukan pengurusan tiada sekatan kapasiti.

Surat COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) sedia ada juga boleh digunakan asalkan ia adalah sahih.

Namun MITI menyarankan pekerja memuat turun surat baharu untuk mengelakkan sebarang isu dengan pihak berkuasa.

Semua sektor ekonomi juga boleh beroperasi kecuali aktiviti yang berada di bawah senarai negatif MKN, manakala pekerja operasi dan sokongan boleh hadir ke pejabat sepenuhnya dan jika ingin bekerja dari rumah, mereka perlu mengikut budi bicara majikan.

Untuk senarai SOP sektor masing-masing, sila rujuk www.mkn.gov.my dan sekiranya memerlukan bantuan teknikal berkaitan akses atau pendaftaran ke CIMS 3.0, anda boleh e-mel ke cims@marii.my atau info@marii.my

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply