Misi Syria : Jalan pulang

0

Terpaku, kelu dan sebak…

Kaki ini keras seolah-olah tidak ingin melangkah wa ima setapak. Segalanya terhenti selepas tiba di simpang berhampiran Pintu Sempadan al Ra’ie.

Di luar van, Abu Qusay dan Abu Ahmad telah menunggu. Kedua-dua mereka adalah petugas NGO tempatan Ulfah Humanitarian Relief, rakan kerjasama Syria Care yang beroperasi di bandar Al Bab.

Kedua-dua mereka melambai tangan dan memanggil-manggil namaku.

“Razali…Razali…”, dengan berulang kali.

Bagi Abu Qusay dan Abu Ahmad, aku bukanlah orang asing. Semasa tiba sebelum ini, kedua-dua mereka yang menjemput dan kemudian menghantar sehingga ke Azaz sebelum aku dan Shadi menaiki kenderaan lain menuju ke Afrin.

Pada misi yang lepas juga merekalah peneman.

Dalam senyuman kelat, kami bersalam dan berpeluk. Sesuatu yang payah untuk dielak kerana di Syria. Tiada istilah “social distancing”.

Sekali lagi aku terpaksa berpaling dan menuju ke dari van Bassel untuk mengambil beg.

Belum sempat sampai, Shadi lebih dulu menghulurkan kepada aku.

Bassel datang dan kami berpelukan dan kemudian disusuli Ahmad. Akhirnya kami bertiga berdakapan. Menjadikan segalanya penuh emosi.

“Ya Allah jangan kau jadikan perpisahan ini sebagai pertemuan terakhir antara kami”, kata-kata itu berulang-ulang datang dalam hati.

Berbanding dengan Bassel, aku baru pertama kali jumpa anaknya, Ahmad. Namun perwatakannya menggambarkan apa yang ada dalam dirinya. Dalam usia 12 tahun, dia telahpun menghafal Al Quran.

Sepanjang lebih tiga jam perjalanan, setiap kali menoleh ke belakang, dia akan tersenyum.

Sejak penumpang bertambah, Ahmad terpaksa korbankan dirinya berada di tempat duduk paling belakang dan sesekali badannya melantun.

Keadaannya sedikit selesa apabila pak cik yang cacat penglihatan bersama anaknya turun sebelum kami memasuki bandar Akhtarin.

Ketika melewati papan tandanya, mataku jauh memandang bumi yang terbentang luas, sayup mata memandang.

Akhtarin…Tiba-tiba teringat tentang sebuah kisah yang di sini kelak di akhir zaman akan berlaku pertempuran antara tentera yang membawa panji-panji Islam dengan Rom.

Saya tidak pasti mengenai kesahihan hadis berkenaan. Cuma ia berlegar-legar di fikiran.

Sesekali mata memerhati jam di telefon bimbit. Waktu seakan bergerak perlahan walaupun van yang dinaiki meluncur laju.

Pada setiap papan tanda, saya membuat laporan kepada Kak Long di ibu pejabat Syria Care, Puan Siti Sakinah. Ia mustahak bagi memantau pergerakan.

Ketika melepasi Akhtarin, kualiti jalan raya agak elok dan jam telah menunjukkan pukul 2.35 petang.

Apa yang merisaukan, perjalanan pulang Shadi, Bassel dan Ahmad ke Atma. Berdasarkan perbualan yang didengar sebelum kami keluar dari bandar itu, segala laluan masuk akan ditutup pada jam 6 petang.

Kini tinggal kami bertujuh.

Berdasarkan perbualan, lelaki yang naik bersama pak cik yang buta dan anaknya sebelum ini adalah bekas seorang guru.

Dia nampak mahir dengan laluan menghala ke Al Ra’ie. Bassel banyak bergantung kepadanya kerana dia orang luar yang berasal dari Aleppo.

Tiga lagi askar agak galak bersembang dan adakalanya berswafoto.

Banyak juga kelebihan bersama mereka kerana setiap kali ditahan, merekalah jadi pemudah. Cuma satu, bila berhimpit-himpit macam ini, bau badan boleh buat pening. Nasib baik kadar kelembaban (humidity) tidak sama macam Malaysia, kalau tidak pengsan!

Apapun, mereka semua ramah tamah. Daripada tiga orang hanya seorang sahaja yang namanya melekat, Abu Hassan. Dua lagi lupa terus. Dalam keadaan cemas, kekadang payah untuk mengingati nama-nama. Apatah lagi dengan orang Arab, semua mempunyai nama panggilan. Cuma sepanjang berada di sana tidak pernah jumpa lagi “Abuya”.

Sebaik memasuki bandar Al Ra’ie, Bassel menghentikan van untuk menurunkan mereka berempat.

Kami bersalaman sebagai tanda selamat jalan.

Kehadiran rakan kerjasama dari dalam Syria seperti Abu Qusay dan Abu Ahmad membantu urusan keluar masuk ke negara itu / Foto Syria Care

Ketika itu ketiga-tiga mereka mengangkat jari telunjuk di tangan kanan. Selain simbol syahadah, ia juga satu perlambangan bahawa mereka sedia untuk mati di jalan Allah.

Ia menjadi sesuatu yang baru dipelajari.

“Selamat jalan dan jumpa lagi’, kataku berkali-kali sambil melambaikan tangan.

“Kalau kita tidak jumpa lagi, kita jumpa nanti di sana, di syurga”, kata-kata itu membuatkan lidah ini kelu.

Sedih…Namun itulah jiwa pejuang tulen dalam mempertahankan maruah dan kesucian akidah, hidup serta mati demi Allah.

Di sebelah Syria ia dikenali sebagai Pintu Sempadan Al Ra’ie dan di Turki dipanggil Cobanbey / Foto Syria Care

Debaran semakin kencang kerana dalam sekitar empat kilometer lagi aku akan sampai ke noktah. Mengakhiri misi khas di bumi Syam. Atas faktor keselamatan dan kesihatan ekoran penularan wabak Covid-19, ia terpaksa dipendekkan.

Berkali-kali aku tengok tempahan tiket penerbangan dari Gazientep, Turki pada jam 8.05 malam yang dihantar Puan Siti Sakinah dan Sheikh Samir Sakka.

Sejujurnya, aku agak berat untuk pulang. Namun atas kepentingan bersama, segalanya perlu diterima.

Destinasi yang dituju akhirnya sampai. Terpampang Pintu Sempadan Al Ra’ie.

Di sini, aku perlu kuat.

Dari kejauhan kelihatan Abu Qusay dan Abu Ahmad. Pada masa yang sama aku maklumkan kepada Puan Siti Sakinah yang kami telahpun sampai di Pintu Masuk Al Ra’ie.

Dari situ aku dipindahkan ke van yang dipandu Abu Qusay, tidak jauhpun. Hanya sekitar 300 meter sahaja. Usai berswafoto, dalam langkah longlai bersama beg heret, aku hulurkan passport kepada Shadi untuk dibawa ke kaunter pengawal sempadan Syria.

Segalanya dipermudahkan. Tiada apa apa halangan tetapi aku tidak gembira untuk keluar. Aku sedih kerana terpaksa meninggalkan misi ini.

Namun atas kemaslahatan umum dengan mengambil kira kepentingan maqasid syarie, aku kena akur kerana kalau apa-apa berlaku keadaan menjadi semakin rumit. Turki boleh menutup pintu sempadannya pada bila-bila masa. Jika ini berlaku, lagi payahlah ceritanya.

“Shadi aku pulang dulu. Insya Allah aku datang lagi. Aku janji datang lagi,” kata-kata itu mengiringi perjalanan.

Mereka melambai-lambai dan aku semakin jauh menuju ke wilayah Turki dan kemudian memasuki kaunter pemeriksaan imigresen.

Selamat tinggal Tanah Syam…berjalan sambil menahan sebak.

Laporan Khas Misi Syria Bahagian Akhir, Razali Awang, Perunding Media Syria Care untuk The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

 

Leave a Reply