Misi Syria : 20 minit untuk kemas barang

0

Oleh : Razali Awang Abdullah

Segalanya berlaku terlalu pantas. Sementara menunggu Bassel as Shami datang untuk membawa saya dan rakan setugas, Shadi al Uwainah ke tapak kem Malaysia di Sarmada, kami memutuskan untuk bersarapan dengan sempurna.

Ketika sedang ralit menikmati pizza, tiba-tiba mendapat panggilan kedua daripada bos, Puan Siti Sakinah Meor Omar Baki.

“Li kau kena keluar hari ni dari Atma. Pagi ni. Keadaan sukar diramal di Turki dan Shaikh (Shaikh Samir Sakka) sedang uruskan untuk bawa kau keluar seberapa segera.

“Akak risau dengan keadaan sekarang. Yang penting kau keluar dulu dan nanti kami akan uruskan tiket,” katanya melalui panggilan WhatsApp.

Walaupun terkejut, selera makan tetap jalan sebab dah agak selepas ini mesti tidak jumpa makanan.

Ketika menerima panggilan pesanan pizza baru sampai. Makan tetap makan kerana di kawasan bencana atau konflik sukar diramal bila lagi akan menikmati makanan selazat ini / Foto Syria Care

Lagipun pizza yang dihidang memang sedap.

Walaupun aku yang hendak balik, Shadilah yang paling sibuk. Manakan tidak, sekejap Shaikh Samir mesej, sekejap Puan Siti Sakinah mesej, sekejap Bassel telefon. Nasib baik dia tidak tercungap.

Ketika menerima arahan itu diri ini termenung panjang macam kehabisan gaji sebelum hujung bulan.

“Mak ai…macamana baju aku yang baru basuh, baru sidai… Habislah berkuwap.”

“Nasib kaulah labu”, mengomel sorang diri sementara berjalan kaki balik ke rumah dalam keadaan jalan berdebu dengan matahari yang semakin terik tetapi cuaca masih sejuk, sekitar 14 selsius.

Sampai di depan rumah, ketika mula kutip baju, tetiba Shadi cakap.

“أنت جاهز. نتحرك إلى الراعي في عشرين دقيقة”

“Kau bersedia? Kita kena gerak ke Al Ra’ie dalam masa 20 minit.

Masa ini mata sepet ini macam hendak terbeliak.

Selasa, 14 Mac menjadi satu lagi pengalaman.

Bersama Bassel dan anaknya, Ahmad yang berusia 12 tahun, kami memulakan perjalanan ke Al Ra’ie yang jaraknya lebih 110 km tetapi telah mengambil masa panjang dengan lebih 3 jam dan terpaksa melalui lebih 20 pusat pemeriksaan kumpulan-kumpulan penentang dan askar Turki.

Dalam keadaan berat hati, pertanyaan Shadi yang saya anggap seperti adik sendiri selepas dua minggu menjalankan tugas bersama membuatkan rasa sebak.

“Kau datang balik tak? Aku kalau boleh hendak kau lama lagi. Banyak lagi kem yang kita hendak ziarah dan buat kerja,” katanya dengan perlahan kerana memahami kualiti bahasa Arab saya yang cap Ayam.

Sedih bila ditanya bila akan balik kerana kita tidak tahu sampai bila Covid 19 ini terus menggila.

“Tetapi percayalah, aku akan pulang ke sini lagi Shadi.”

“Kembali lagi ke tanah Syam. Bumi yang diberkati Allah dan Rasulnya di mana
wajah-wajah pelarian dan anak yatim yang mengingatkan aku tentang peranan kemanusiaan, membuang keegoan diri dan menjadi manusia yang bersyukur dengan kurniaanNya,” kata-kata dalam hati yang menjawab pertanyaan Shadi.

Dalam senyum yang pahit, aku menjawab “Insya Allah aku akan kembali dan tinggal dengan lebih lama,”.

Sebelum keluar melepasi Atma menghala ke Jandares, Afrin, kenderaan yang kami naiki telah diarah berhenti dan menjalani saringan suhu badan.

“Oh dah ada kes ke? Tanya diri sendiri.

Lebih baik jangan tanya orang Syria kerana mereka tidak sempat hendak fikir mengenai wabak itu. Apa yang penting pada mereka adalah kelangsungan hidup.

“Razali kau ingat tak kat situ”, tanya Shadi.

Mana lupa kejadian dua minggu lalu, ketika memasuki Jandares, teringat kisah. Gara-gara sekeping gambar falafel, aku dan kawan-kawan telah dibawa ke pejabat “Militiary Police” untuk disoal siasat.

Kisah itu akan diceritakan pada coretan selepas ini.

Belum jauh dari kedai itu, sekali lagi ditahan.

Kali ini ujiannya lebih besar. Askar bertugas telah meminta Bassel menyambung bacaan ayat 22, surah Al Hajar.

Bassel tersasul tetapi kesilapan itu diperbetulkan anaknya, Ahmad, 12 tahun yang dibawa bersama.

Anggota berkenaan takjub dan terus melepaskan kami untuk meneruskan perjalanan.

Ahmed Bassel berusia 12 tahun telah menjadi penyelamat kerana membetulkan bacaan ayat 22 surah Al Hajar selepas bacaan bapanya yang tersasul / Foto Syria Care

Bayangkan budak 12 tahun sudah hafal Quran. Malu sangat dengan diri sendiri.

Memasuki bandar Afrin benar-benar menguji kesabaran. Persekitarannya sudah cukup menggambarkan penderitaan rakyat akibat konflik.

Bahkan bandar ini antara yang tidak selamat untuk berada dalam tempoh jangka masa lama.

Terperangkap di tengah-tengah jalan satu perkara berisiko kerana di sini ia menjadi sasaran pengganas Kurdish.

Caranya menggunakan bahan letupan yang diubahsuai (IED) yang diletakkan pada kenderaan di tepi jalan.

Dalam keadaan yang terus terperangkap lebih 40 minit, dengan kehadiran askar di mana-mana, kami hilang arah. Laluan mana yang perlu diambil untuk keluar dari situ.

Nantikan sambungannya..

Laporan Khas oleh Razali Awang Abdullah, Syria Care Media untuk The Malaya Post.

 

Leave a Reply