Misi #MusaadahCOVID19 ringan beban asnaf dan petugas hadapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan

0

Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menggerakkan misi #MusaadahCOVID19 sebagai usaha meringankan beban asnaf dan petugas hadapan (frontliner) COVID-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Agensi-agensi di bawah Menteri Hal Ehwal Agama telah memulakan misi #MusaadahCOVID19 di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri lain yang telah dikenal pasti.

Manakala Bantuan Kewangan Bulanan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang biasanya disalurkan pada setiap 25hb, telah mula dibayar ke akaun penerima secara berperingkat bermula hari ini (19 Mac).

Ia melibatkan jumlah keseluruhan RM8.94 juta melibatkan 22,000 asnaf bertujuan meringankan beban asnaf khususnya untuk mendapatkan barangan keperluan asasi dalam situasi semasa.

Selain itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui JAWI Food Bank dengan kerjasama pemilik Restoran Ali Maju, Datuk Ali Jawahar Ali telah menyumbangkan makanan kepada petugas hadapan (frontliner) COVID-19 di PPUM, Kuala Lumpur tengahari ini.

Misi #MusaadahCOVID19 akan diteruskan sehingga minggu hadapan dan beliau akan memastikan semua sumbangan sampai kepada sasaran yang memerlukan.

Beliau turut menyeru dan menggesa badan-badan korporat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) masing-masing untuk turut menyumbang kepada rakyat yang memerlukan bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

— THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply