Merentasi Sungai Atas Sungai di Selama

0

Daerah kecil Selama terletak di utara negeri Perakdan merupakan pintu masuk ke negeri ini kerana sebelah utara dan baratnya bersempadan dengan negeri Kedah Darul Aman.

Dahulunya Selama dikenali dengan nama Kampung Selamat.

Sejarah mengatakan Selama diteroka oleh Allahyarham Abdul Karim Raja Aman Shah pada 22 Januari 1870 Masihi bersamaan 14 Muharram 1290 Hijrah bersama 12 orang pengikutnya.

Allahyarham yang berasal dari Rao (Rawa), Sumatera Barat, pernah bekerja dengan Orang Kaya Menteri Larut, Long Jaafar kemudian menjadi orang harapan apabila jawatan Menteri Larut disandang oleh anak Long Jaafar iaitu Ngah Ibrahim sekitar tahun 1858. 

Satu dekad kemudian, Allahyarham Abdul Karim memohon restu Ngah Ibrahim untuk membuka penempatan baru.

Rombongan beliau bersampan memudiki Sungai Kerian dan singgah di sebuah tempat bernama Tanjong Medan (kini dikenali sebagai Kampung Medan).

Kemudian mereka berpindah pula ke Kampung Selamat yang terletak antara Jalan SIr Chulan dan Kampung Gudang. 

Lama kelamaan Kampung Selamat bertukar nama kepada Kampung Selama.

Usaha pertama Allahyarham Abdul Karim dan pengikutnya ketika sampai ke kampung ini ialah mendirikan sebuah masjid yang mempunyai sembilan tiang.

Setiap satu tiang melambangkan asas perpaduan puak Rao (Rawa) iaitu Longgong, Padang Metinggi, Sungai Rongeh, Lohon Hijau, Loboh Sekoping, Kota Raja, Mendiling Kecil, Mendiling Besar dan Batak.

Apabila bijih timah dijumpai di Selama, Allahyarham Abdul Karim menjemput ramai keturunan Rawo dari Sumatera dan Orang Cina ke situ untuk memajukan perusahaan melombong bijih timah. 

Setelah pengeluaran bijih merosot, Allahyarham Abdul Karim menyerahkan Kampung Selama kepada Inggeris pada tahun 1888.

Di bawah pentadbiran Inggeris, Selama membangun mengikut citarasa penjajah.

Jika anda ke Selama, sudah pasti anda akan mendengar tentang keunikan sebatang sungai.

Menariknya, sungai ini berkedudukan sungai atas sungai dan ianya menjadi ‘landmark’ bersejarah dan popular dalam daerah ini.

Apabila dengar nama Sungai Atas Sungai, pasti anda terfikir juga apakah maksudnya.

Bila dah sampai disini rupanya Sungai Atas Sungai adalah terusan air yang dilencongkan daripada sungai Ijok sejauh 3.5 kilometer ke Sungai Atas Sungai sungai sebelum merentasi sungai Redang Panjang yang mengalir di bawahnya.

Aliran air mengalir ini akan menuju ke telaga gergasi, menerusi terusan air sepanjang kira-kira lima kilometer.

Apabila anda berdiri di atas jambatan sungai atas sungai ini anda akan dapat melihat air dari terusan mengalir melalui jambatan tanpa bercantum dengan air sungai redang panjang yang terdapat dibawahnya.

Jambatan yang merentasi terusan terbabit dibina pada tahun 1936 dan ianya masih utuh sehingga kini. 

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply