Mereka yang ingkar pada arahan Perintah Kawalan Pergerakan perlu dikenakan tindakan undang-undang – Haniff Khatri

0

Hari ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung sehingga 14 April depan.

Trend ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun dan ini menuntut kerajaan untuk meneruskan perintah kawalan pergerakan bagi satu tempoh masa yang lebih lama.

Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyelar tindakan segelintir masyarakat yang masih berdegil pada arahan PKP dan menyarankan agar mereka yang ingkar dikenakan tindakan undang-undang.

“Pihak yang pentingkan diri sendiri, seperti yang dilaporkan antara lain di pasar-pasar di Pulau Pinang, wajib pada masa kini dikenakan tindakan undang-undang yang sedia ada di bawah PKP dan AKTA 342, dengan pihak polis harus diberi kuasa untuk menahan dan mendakwa mereka.

“Ini adalah supaya gejala COVID-19 ini dapat dibendung, dan turut sama menghargai usaha majoriti rakyat yang mematuhi arahan kerajaan di bawah PKP itu, katanya.

Haniff Khatri berkata kepentingan majoriti dan negara harus diutamakan terhadap kepentingan peribadi minoriti yang masih memungkiri syarat-syarat di bawah PKP dan berlanggaran dengan kepentingan kesihatan rakyat dan negara.

“Ini bukannya masa untuk kita merungut, tetapi untuk biasakan lagi diri dan keluarga kita untuk mengubahsuai gaya hidup kesemua kita demi kelansungan Kemandirian Kemanusiaan atau “Humanitarian Survival”.

“Saya seperti segolongan besar rakyat Malaysia yang lain, sama-sama kesal dengan sikap segolongan kecil Rakyat yang masih pentingkan diri sendiri dalam mengingkari secara terbuka akan syarat-syarat pergerakan yang dikenakan di bawah PKP yang bermula 18 Mac lalu dan sekurang-kurangnya sehingga 14 April depan.

“Jika masih berterusan dengan adanya kadar jangkitan COVID-19, maka besar kemungkinan akan disambung lanjut sepanjang bulan Ramadhan yang bakal tiba,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan contoh PKP di Kanada pada tahun 1918 disebabkan wabak Spanish Influenza.

“Untuk mereka yang masih tidak sedar tanggungjawab bersama ini, ambil iktibar dari apa yang berlaku di Kanada berkaitan Perintah Kawalan Gerakan yang diadakan pada hujung tahun 1918 hingga awal tahun 1920 berkaitan wabak “SPANISH INFLUENZA” di Bandar Kelowna, daerah British Columbia, Kanada yang melarang pergerakan di kesemua kawasan awam termasuk kesemua sekolah, gereja swasta ataupun awam, panggung awam ataupun bergerak, bilik Pool mahupun mana-mana tempat hiburan lain.

“Wabak berkenann dilaporkan membunuh sejumlah antara 17 juta hingga 50 juta manusia di seluruh dunia, dan telah berleluasa mulai Januari 1918 sehingga Disember 1920.

“Adakah anda inginkan jumlah COVID-19 untuk sampai ke tahap seperti wabah Spanish Influenza tahun 1918-1920?,” tambahnya.

Beliau sekali lagi merayu agar segolongan kecil rakyat Malaysia yang pentingkan diri sendiri menjadi lebih bertanggungjawab ke atas apa yang sedang dihadapi negara.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply