Menyamar ejen penapis air, modus operandi terbaru penjenayah – PDRM

0

Ini pula adalah amaran daripada Polis Diraja Malaysia.

Berdasarkan rekod Bukit Aman, menyamar sebagai ejen syarikat penapis air untuk dapatkan duit antara modus operandi terbaru penjenayah.

Sebagai langkah keselamatan bersama, kami lampirkan tips khusus dipetik daripada facebook rasmi Polis Diraja Malaysia.

#JomBeringat

Hati-hati jika didatangi individu mendakwa lakukan servis penapis air.

Semakin ramai rakyat Malaysia kini yang menggunakan penapis air di rumah bagi memastikan kualiti air yang digunakan bersih dan selamat.

Kebiasaannya, perkhidmatan penapis air ini turut disertakan dengan servis pembersihan setiap sebulan atau dua bulan sekali.

Adalah diingatkan kepada masyarakat untuk mengambil perhatian terhadap langkah-langkah keselamatan ini sekiranya didatangi individu yang mendakwa melakukan khidmat pembersihan penapis air bagi memastikan mereka adalah pekerja yang sebenar, dan bukannya taktik penjenayah.

1. Anda akan dihubungi oleh pihak syarikat terlebih dahulu sebelum pekerja ditugaskan ke rumah anda untuk melakukan servis pembersihan penapis air.

2. Kebiasaannya pekerja yang ditugaskan adalah seorang sahaja. Jika didatangi lebih daripada seorang individu, hubungi semula syarikat untuk pengesahan.

3. Jangan cepat mempercayai individu yang mendakwa melakukan servis pembersihan sebelum membuat semakan silang (cross-check) dengan pihak syarikat. Dapatkan nama penuh dan nombor pengenalan diri pekerja tersebut.

4. Buat juga semakan tentang nama penuh pelanggan dan model penapis air yang digunakan. Ini adalah kerana, setiap pekerja telah diberikan maklumat tersebut oleh pihak syarikat. Jangan sesekali anda yang memberi maklumat tersebut kepada mereka.

5. Perhatikan juga etika pemakaian pekerja tersebut. Mereka seharusnya mengenakan baju berlogo syarikat dan mempamerkan kad atau tag pekerja pada pakaian.

6. Sebaiknya, tetapkan masa untuk khidmat pembersihan ketika ahli keluarga anda turut berada di rumah seperti pada hujung minggu atau di waktu petang. Elakkan memilih waktu ketika anda berseorangan di rumah.

Leave a Reply