Menteri Wilayah Persekutuan turun padang tinjau projek pembangunan di Wilayah Persekutuan Labuan

0

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meninjau tapak projek-projek pembangunan dibawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) disekitar Wilayah Persekutuan Labuan.

Tinjauan ini bertujuan memastikan perjalanan pelaksanaan projek pembangunan di pulau ini mengikut jadual dan tidak lewat dari yang sepatutnya sehingga menjadi ‘projek sakit’.

Projek Jalan Pesisir Pantai Membedai yang dilancarkan pada 19 Disember 2017 telah siap 75% dan dijangka akan siap sepenuhnya pada April 2021.

“Sepatutnya projek ini siap sepenuhnya pada Disember 2020 tetapi disebabkan oleh arahan kerajaan untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020, tempoh siap projek ini terpaksa dilanjutkan.

“Projek pembinaan jalan sepanjang 5.1km ini melibatkan pembinaan jajaran jalan baharu sepanjang 4.4 km serta menaiktaraf 1.1km jalan yang sedia ada. Ini termasuklah pembinaan tiga ’roundabout’ dan dua buah persimpangan berlampu isyarat.

“Projek pembinaan jalan yang menelan belanja RM156 juta bertujuan mewujudkan laluan alternatif bagi Jalan Tun Mustapha. Jajaran sepanjang pesisiran pantai ini bermula dari Jalan Sawangan Cina di Membedai sehingga ke Jalan Batu Arang berhampiran Sekolah Antarabangsa Labuan dan akan melalui beberapa kawasan kampung seperti Kampung Nagalang, Kampung Kerupang 1, Kampung Kerupang 2 dan Kampung Kerupang 3,” jelas beliau dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, dengan melalui projek ini masalah kesesakan lalu lintas di laluan utama dapat dikurangkan.

Malah paksanaan projek ini juga dapat memperkukuhkan jaringan infrastruktur jalan raya di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Manakala, Projek Pembinaan Semula Dewan Komuniti Kampung Patau-Patau 1 dan Naiktaraf Jalan Kampung bakal menggantikan sebuah dewan baharu yang berkeluasan 3300 kaki persegi.

“Dewan Komuniti ini akan menjadi pusat komuniti pentadbiran kampung yang lebih sistematik selain boleh digunakan sebagai pusat aktiviti secara berpusat yang lebih mudah untuk dikawal selia. Dewan ini juga akan memainkan peranan sebagai pusat aktiviti pelancongan.

“Selain itu, sebanyak RM1.5 juta peruntukan untuk Tabung Penyelenggaraan Wilayah Persekutuan bagi WP Labuan akan disalurkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020,” ujar beliau.

Beliau berkata peruntukan tambahan bertujuan merangsang kembali ekonomi penduduk Labuan yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP.

Peruntukan ini digunakan untuk melaksanakan tiga projek pembaikan kerosakan am yang melibatkan Blok L dan M di Perumahan Awam Taman Mutiara dan Taman Sungai Berdaun.

“Antara kerja-kerja yang dilaksanakan dibawah PRE 2020 ini adalah membaikpulih Surau Ar-Rayyan dan Surau As-Syakirin serta kerja-kerja pendawaian dan baikpulih Dewan Serbaguna di Taman Mutiara. Ini ditambah dengan kerja-kerja penyelengaraan jalan, longkang, pembentungan, susur tangga dan kerja-kerja lain yang berkaitan dengan Perumahan Kos Sederhana di Taman Mutiara.

“Manakala bagi Perumahan Awam Taman Sungai Bedaun pula, sebanyak RM500,000 telah diperuntukan bagi menyediakan tempat letak kereta, penambahbaikan jalan konkrit serta infrastruktur awam seperti perhentian bas, tandas, dan longkang.

“Semua projek pembaikan ini akan bermula pada bulan ini dan dijangka selesai sepenuhnya pada Ogos 2020,” katanya.

Bagi aspek pembangunan utiliti awam, KWP dan PL serta Jabatan Bekalan Air (JBA) sedang dalam tindakan untuk menaik taraf infrastruktur dan kualiti bekalan air di Labuan.

Gangguan bekalan air yang kerap berlaku adalah berpunca daripada kerja-kerja berkaitan infrastruktur seperti penyelenggaraan, baik pulih, naik taraf dan pemindahan paip-paip dan ia bukanlah berpunca daripada masalah ketidakcukupan sumber air.

Di bawah RMK-12 yang akan bermula pada tahun 2021, satu cadangan projek baharu iaitu kerja penggantian paip agihan jenis Asbestos Cement (AC) sepanjang 15 kilometer (km) di tiga buah kampung telah dipertimbangkan untuk dilaksanakan.

Projek ini akan dimulakan pada tahun 2021 dan dijangka siap pada tahun 2027 dengan menelan kos sebanyak RM68 juta.

Kampung yang terlibat ialah Kampung Air Patau-Patau 2, Kampung Bebuloh Laut dan Kampung Rancha-Rancha Laut. Buat masa ini, kampung tersebut masih lagi mempunyai sistem bekalan air yang daif dan sering mengalami kebocoran.

Selain daripada projek-projek yang dinyatakan di atas, Bahagian Bekalan Air (BBA) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga sedang merangka beberapa projek yang akan dilaksanakan di masa hadapan antaranya ialah projek penggantian paip di seluruh Labuan dan akan dilaksanakan secara berperingkat serta mengikut keutamaan serta kelulusan peruntukan di peringkat Kerajaan Pusat.

“Penggantian paip air mentah akan dibuat dari Empangan Bukit Kuda atau Kerupang hingga ke Loji Jalan Kolam.

“Projek berkaitan sumber air yang dalam perancangan ialah pembinaan Off-River Storage Kina Benua. Ini termasuklah loji air dan lain-lain kerja-kerja berkaitan pembinaan Coastal Reservoir di Ganggarak. Begitu juga perancangan pembinaan paip dasar laut dan Loji Air Beaufort Fasa III,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pelaksanaan projek-projek pembangunan di Wilayah Persekutuan Labuan ini dapat meningkatkan taraf kemudahan awam dan mutu kehidupan rakyat.

“Ini secara langsung akan dapat meningkatkan sektor pelancongan selain mewujudkan persekitaraan yang kondusif dan berdaya huni untuk semua warga Labuan serta yakin Pakej Rangsangan Ekonomi ini dapat membantu mengembalikan momentum ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan,” tambahnya.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply