Menteri Luar Negeri bincang langkah perkasa peranan Malaysia di Timur Tengah bersama Dato’ Seri Hadi Awang

0

Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein mengadakan pertemuan bersama Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dato’ Seri Abdul Hadi Awang membincangkan langkah memperkasa peranan Malaysia di Timur Tengah khususnya dalam menghadapi cabaran situasi geopolitik yang tidak menentu termasuk masalah penularan wabak COVID-19.

Menurut Dato’ Seri Hishamuddin lagi, tumpuan Wisma Putra adalah memudahcara urusan kepulangan rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara disebabkan sekatan perjalanan dan penutupan ruang udara oleh kerajaan negara yang didiami.

“Selain itu, Wisma Putra juga perlu menjayakan hasrat kerajaan untuk mengenalpasti negara yang mempunyai penyelidikan saintifik dan pembangunan vaksin terbaik seterusnya memastikan Malaysia menjadi negara terawal memperolehi vaksin,” ujarnya.

Menteri Luar Negeri juga berkata dengan pengalaman dan pengaruh, beliau yakin Dato’ Seri Hadi Awang berupaya membantu warga Wisma Putra menjayakan pelbagai lagi agenda khususnya berkaitan di Timur Tengah.

“Ini termasuklah membantu memastikan hubungan diplomatik Malaysia dengan rakan negara di sana terus utuh dan berkekalan.

“Saya menyeru rakyat Malaysia agar mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Dato’ Seri Hadi Awang sepanjang pemergiannya ke sana.

“Marilah kita sama-sama doakan semoga urusan Tuan Guru Haji Hadi Awang selaku Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah dipermudahkan dan diberkati Allah SWT, InsyaAllah,” tambahnya.

Ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pihak selepas Dato’ Seri Abdul Hadi dilantik selaku Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah pada 2 April lalu.

Pada pertemuan itu, Dato’ Seri Hishamuddin turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Tuan Guru Haji Hadi Awang atas pelantikan tersebut.

Saya merakamkan setinggi penghargaan di atas kesudian YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Luar Negeri…

Dikirim oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada Rabu, 22 April 2020

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply