Menteri Luar adakan lawatan rasmi ke China esok

0

Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Rakyat China esok.

Memetik kenyataan media Wisma Putra, lawatan dua hari ini susulan jemputan diterima dari TYT Wang Yi, State Councilor yang juga Menteri Luar Republik Rakyat China semasa lawatan rasmi beliau ke Malaysia Oktober tahun lalu.

Semasa lawatan, Hishamudin bersama Wang Yi akan mempengerusikan mesyuarat dua hala antara delegasi Malaysia dan China.

“Lawatan ini adalah penting untuk memastikan penjanaan semula aktiviti dua hala dan kesalinghubungan dapat dilaksanakan,” memetik laporan terbabit.

Kedua-dua pihak akan membincangkan initiatif baharu untuk memacu kerjasama dua hala dengan tumpuan khusus terhadap kerjasama pasca pandemik, termasuklah pengembaraan merentas negara dan kerjasama dalam bidang vaksin selain isu-isu semasa serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Berilhamkan hala tuju Sidang Kemuncak ASEAN – China Ke-23, kedua-dua negara turut memberi tumpuan kepada usaha untuk menjayakan ASEAN – China Year of Sustainable Development Corporation, pengukuhan kerjasama dalam Blue Economy serta membincangkan isu-isu sejagat melibatkan keselamatan serantau.

“Malaysia dan China telah mewujudkan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang dan perkongsian strategik komprehensif. Hubungan dua hala antara kedua-dua negara terus meningkat maju dan kukuh, walaupun dibelenggu cabaran COVID-19,” ujarnya.

Hubungan dagangan antara kedua-dua negara terus berkembang sebanyak 4.2% dan mencapai RM329.77 bilion. China terus kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia untuk 12 tahun berturut-turut dan menyumbang sebanyak 18% kepada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia pada tahun lepas.

Eksport ke China juga menyumbang sebanyak 16.2% kepada jumlah keseluruhan eksport Malaysia ke luar negara.

Malaysia dan China juga telah meningkatkan hubungan dua hala dari “Perkongsian Strategik” menjadi “Perkongsian Strategik Komprehensif” pada tahun 2013, menandakan bab baru dalam hubungan dua hala yang bersejarah di antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Lawatan rasmi Hishammuddin akan dilaksanakan dengan pematuhan sepenuhnya terhadap langkah-langkah keselamatan serta kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan National Health Commission of the People’s Republic of China.

“Ini termasuk bergerak dalam gelebung perjalanan, membataskan pergerakan luar sepanjang lawatan, menghadkan jumlah pertemuan dan mematuhi segala garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.

Untuk rekod, ini merupakan lawatan rasmi pertama Hishammuddin ke Republik itu sejak menjawat jawatan sebagai Menteri Luar Negeri pada 10 Mac tahun lalu.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply