Menjelang Aidilfitri, orang awam digesa patuhi SOP dan amal kawalan kendiri

0

Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sememangnya berbeza dengan sambutan Syawal pada tahun sebelumnya memandangkan pada kali ini kita semua perlu menyambutnya dalam keadaan terkawal.

Memetik ucapan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Dato Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian COVID-19 (Non Health), beliau berkata tahun ini orang ramai terpaksa berpandukan norma baharu dan juga mendisiplinkan diri dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Justeru itu, kerjasama orang ramai diperlukan terutamanya dalam mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa

Sambutan hari raya boleh dilakukan secara sederhana bersama keluarga terdekat namun aktiviti rutin tahunan untuk ziarah menziarahi keluarga lain serta rakan-rakan perlu ditangguhkan.

Sambutan hari raya pula dihadkan hanya tertakluk kepada 20 orang sahaja namun ianya harus mengambil kira saiz kediaman masing-masing bagi memastikan penjarakan sosial dan juga kebersihan diri sentiasa terjaga dan diamalkan.

Manakala bagi aktiviti riadah secara berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali malah pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat rondaan di kawasan perumahan bagi memantau suasana sambutan agar ianya terkawal.

Beliau turut mengingatkan agar pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan untuk sentiasa mengingatkan ahli komuniti masing-masing supaya sentiasa mematuhi SOP serta mengamalkan kawalan kendiri.

“Jangan sia-siakan pengorbanan petugas yang berada di barisan hadapan (frontliners) yang telah bertungkus lumus tidak mengira waktu termasuk bertugas pada hari perayaan serta hargailah jasa anggota PDRM, ATM, Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), RELA, APM, APMM dan AKSEM termasuk anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti para doktor dan jururawat,” ujar beliau mengakhiri ucapannya.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply