Menghitung senja merah di Pantai Ban Pecah

0

Ban Pecah adalah satu kawasan riadah pantai berbatu bagi kegiatan memancing di daerah Kerian, yang juga cukup terkenal dengan makanan laut dengan menu masakan ‘kari sembilang merah’ dan ‘mee udang Tanjung Piandang’.

Bagi anda yang belum tahu apakah maksud nama ‘Ban’, ia menjelaskan struktur tebatan air atau banjir yang biasa dibina di tebing sungai bagi mengelak limpahan air sungai ke kawasan tebing sungai yang lebih rendah.

Lazimnya, ban di tebing sungai menggunakan tanah yang dimampatkan dan ketinggiannya dibina mengikut paras banjir sungai.

Namun di Tanjung Piandang, Perak, struktur ban dibina menggunakan bongkah-bongkah batu di sepanjang pesisir pantai bagi mengelakkan hakisan oleh ombak laut ketika ombak kuat berlaku.

Bongkah-bongkah batu disusun bertujuan mengekang hakisan ombak manakala di sepanjang tebingnya pula, terdapat pohon-pohon rendang menjadikan suasana sentiasa redup dan nyaman.

Kebiasaannya, Ban Pecah sering dikunjungi para pelancong dari dalam negeri berhampiran antaranya Kedah,Pulau Pinang,Perlis.

Malah ada juga pelancong dari Kuala Lumpur yang datang ke Ban Pecah ini untuk memancing ikan sembilang merah yang hanya terdapat di daerah Kerian sahaja.

Pantai Ban Pecah juga dikenali sebagai “Pantai Rock”. Terletak di dalam kawasan Mukim Tanjung Piandang.

Kawasan ini berlokasi 16 km dari bandar Parit Buntar, merupakan lokasi bagi pemancing-pemancing dan tempah riadah bagi keluarga.

Anda juga akan dapat melihat suasana matahari terbenam ketika senja yang melintasi Laut Selat Melaka ini.

Dalam pada itu, pihak Majlis Perbandaran Kerian juga melakukan program pembersihan dan gotong royong bersama penduduk setempat sebagai aktiviti rutin bagi menjaga kebersihan kawasan tumpuan pelancong ini.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply