Mengadakan jualan di hotel untuk mengaburi pihak berkuasa dan menipu orang ramai, lebih RM400,000 barangan berjenama terkenal tiruan dirampas

0

Seorang lelaki dan wanita yang sedang leka mengadakan jualan murah barangan berjenama terkenal tiruan ditahan dalam operasi di sebuah hotel di Bangsar di sini petang sabtu lalu dan 890 unit pelbagai jenis pakaian berjenama bernilai lebih RM400,000 turut dirampas.

Menurut Shamsul Nizam Khalil selaku Ketua Seksyen Siasatan Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya berkata ini adalah antara modus operandi baharu sindiket barangan tiruan yang dikesan untuk mengaburi pihak berkuasa sekaligus meyakinkan orang ramai dengan mengadakan jualan di hotel-hotel.

Antara barangan yang dirampas ialah, kaca mata, topi, skaf serta baju yang menggunakan jenama Gucci, Nike, Versace dan Dior antara yang dijual ketika kedua suspek yang berumur 30-an ditangkap dalam serbuan yang dilakukan oleh KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tambah Shamsul Nizam, mereka memperdaya orang ramai dengan memberitaju setiap pelanggannya bahawa setiap barangan yang dijual telah diberikan diskaun yang tinggi dan menjualnya dengan harga serendah RM100 sehingga RM2,000 bergantung kepada jenis barang.

Tambahnya lagi, hebahan mengenai promosi jualan murah barangan berjenama di hotel-hotel ini kebiasaannya dibuat menerusi laman sosial Facebook yang sememangnya mempunyai pengikut dan penggemar barangan berjenama tersebut.

Menurutnya kebiasaannya jualan murah itu diadakan pada hujung minggu atau waktu perayaan.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat laporan sekiranya mengesyaki barangan yang dijual di lokasi tertentu adalah tiruan dan kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 102(1) (b) Akta Cap Dagangan 2019.

Shamsul Nizam turut menitipkan pesanan dan galakan supaya orang ramai mendapatkan barangan berjenama ini terus dari pengedar yang sah atau berdaftar.

Selain itu Shamsul Nizam turut meminta orang ramai supaya berhati-hati apabila membeli barangan berjenama terkenal supaya tidak tertipu dengan tawaran rendah serta kualiti dan gred barangan tersebut.

Leave a Reply