MB Perak umum portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

0

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan portfolio barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak hari ini (7 April).

Dalam satu kenyataan media, beliau berkata, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ini telah dibentuk dan dengan iltizam yang kuat adalah untuk merangka dan melaksanakan perancangan bagi menstabilkan sosio-ekonomi negeri dalam tempoh dua tahun akan datang serta bagi jangka masa yang panjang.

Antara senarai portfolio Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak adalah ;

1) Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu

Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, GLC dan Integrasi Nasional

2) YB Dato’ Saarani bin Mohamad,

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna

3) YB Tuan Haji Razman bin Zakaria,

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil

4) YB Dato’ Nolee Ashilin binti Dato’ Mohamed Radzi

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan

5) YB Dato’ Shahrul Zaman bin Yahya

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor.

6) YB Dato’ Abdul Yunus bin Jamhari

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air

7) YB Encik Mohd Akmal bin Kamarudin

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan

8) YB Datuk Dr Wan Norashikin binti Wan Noordin

Pengerusi, Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah dilantik, akan turut memangku portfolio-portfolio tiga lagi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang masih belum diisi.

“Saya sendiri akan memangku portfolio Kesihatan manakala YB Encik Akmal akan memangku portfolio Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

“YB Dato Nolee Ashilin pula akan memangku portfolio Komunikasi dan Multimedia manakala YB Dato’ Shahrul Zaman pula akan memangku portfolio Belia dan Sukan.

“Saya percaya, pasukan yang dibentuk ini akan bekerja dengan kuat untuk menggalas cabaran-cabaran yang sedang kita hadapi.

“Tetapi pada masa yang sama, pasukan ini juga memerlukan kerjasama, sokongan dan doa seluruh rakyat negeri Perak yang dikasihi dalam mengharungi badai gelora ekonomi kesan daripada wabak Covid-19,” ujar beliau.

Meneruskan usaha dalam mengharungi dugaan yang sedang dihadapi dunia pada ketika ini, beliau menerapkan kepercayaan dan keyakinan dengan kekuasaan Allah SWT dan mengambil iktibar dari firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 286 yang bermaksud:

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.

Ini diperkuatkan lagi dengan Firman Allah SWT dalam Surah Al-Insyirah, ayat 5-6 yang bermaksud:

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.(Sekali lagi di tegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Dengan yakin jika kita bersatu hati dan bersatu iltizam, menerima hikmah disebalik ujian, kita akan berjaya mengatasi cabaran ini, seperti mana yang telah kita buktikan dalam krisis-krisis sebelum ini.

Demi Rakyat, Kerana Allah. Kepada Allah Kita Berserah.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply