Maszlee Malik teguh menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad

0

Sudah agak lama tidak mendengar apa-apa perkembangan menarik Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik selepas beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Terbaharu, melalui perkongsian di laman Instagram, beliau berkongsi foto bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pemimpin berkenaan bertanggungjawab membina karier politiknya serta Menteri Keselamatan Dalam Negeri terbabit telah berjaya meletakkan parti Bersatu pada tahap yang baik.

“Sebagai orang lama dalam politik, dan mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran, TS Muhyidin telah berjaya membawa parti Bersatu di mana ia berada pada hari ini.

“Sebagai ahli parti dan Ahli Parlimen mewakili parti Bersatu, saya menyokong penuh kepimpinan TS Muhyidin sebagai presiden, dan akan setia menggalas harapan TS Presiden agar parti Bersatu bertapak kukuh di Simpang Renggam, menjadikan Johor sebagai kubu kuat parti Bersatu,” kongsinya.

Sebelumnya, beliau turut berkongsi foto bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan berkata, beliau tetap setia bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta teguh menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir serta Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.

“Dengan tegas dan muktamad ingin saya nyatakan di sini, saya, Maszlee Malik, tetap taat dan setia bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Saya berdiri teguh di belakang kepimpinan BERSATU, di belakang Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan juga Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.

“Tumpuan saya sekarang ialah untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di Simpang Renggam, dan memberikan yang terbaik kepada penduduk Simpang Renggam, kerja bina semula negara kita adalah fokus utama semua pihak. Saya yakin semua bekerja keras untuk perkara ini,” tulis beliau.

Terdahulu, dilaporkan ahli parlimen berkenaan akan bertanding merebut jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Simpang Renggam pada pemilihan parti yang membabitkan 997 ahli, menerusi 10 cawangan.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply