MARii, Proton, DRB-Hicom, CATARC bekerjasama bangun kemudahan pengujian NxGV

0

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Pusat Teknologi Automotif dan Penyelidikan China (CATARC), DRB-Hicom dan Proton menjalin kerjasama untuk membangunkan kemudahan pengujian kenderaan generasi seterusnya (NxGV) di Malaysia.

Memetik laporan Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Madani Sahari berkata kemudahan tersebut termasuklah trek ujian, pusat data raya, pusat robotik, pusat Internet of Things (IoT) serta pusat perancangan bandar raya pintar.

“Kita tidak mempunyai kemudahan pengujian penuh di sini. Kita telah mula bina sebuah tetapi ia belum lengkap; justeru kerjasama ini akan membolehkan kita melengkapkan kemudahan pengujian di Malaysia menjelang 2023 dengan bantuan daripada CATARC,” katanya pada sidang akhbar susulan permeterian memorandum persefahaman (MoU) antara pihak-pihak tersebut di sini, hari ini.

Semasa acara itu, MARii dan CATARC memeterai MoU mengenai perkongsian pengetahuan dan pindahan pakar, penyeragaman standard teknikal dan pembinaan kemudahan.

MARii juga memeterai MoU dengan DRB-Hicom untuk membangunkan program akademik dan pembangunan modal insan relevan bagi memantapkan tenaga kerja automotif Malaysia.

“Kedua-dua pihak akan bekerjasama membangunkan program baharu sejajar dengan permintaan industri, termasuk pembangunan rantaian nilai dan pengembangan pasaran,” kata Madani.

Program itu yang termasuk modul teknologi automotif canggih berkaitan dengan Mobiliti sebagai Perkhidmatan, NxGV dan revolusi perindustrian keempat adalah untuk mewujudkan kumpulan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam mobiliti masa hadapan.

Sementara itu, MoU antara Proton dan CATARC akan membolehkan syarikat kereta nasional Malaysia itu bekerjasama dan memanfaatkan kemudahan penyelidikan dan pembangunan CATARC, terutamanya dalam bidang aktiviti berkaitan pengujian.

Leave a Reply