Marah kerana hantaran di FB, kereta dibakarnya

0

Gara-gara berselisih faham kerana hantaran di Facebook (FB), seorang lelaki bertindak menghempuk cermin dan bahagian badan sebuah kereta Proton Waja yang di parkir di bahu jalan dengan batu hingga rosak.

Susulan tindakan itu, menyebabkan berlaku pergaduhan membabitkan empat lelaki dan seorang wanita di mana kereta terbabit dirosakkan serta dibakar di Jalan BK 5, Bandar Kinrara semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima maklumat pada 4 petang.

Menurutnya, suspek dalam keadaan marah sambil menjerit dan membuat provokasi malah kereta terbabit turut dipecahkan lampu serta cermin belakang.

“Kejadian itu juga tular di media sosial FB di mana terdapat empat video berdurasi seminit 30 saat, seminit 26 saat, seminit 15 saat dan 47 saat.

“Seterusnya, pihak polis mengambil tindakan dengan menahan suspek terbabit sebelum turut menahan seorang lagi lelaki dan wanita bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

ACP Anbalagan berkata, rentetan daripada kejadian itu, kereta yang dirosakkan itu dilaporkan dibakar pada 8.40 malam.

“Hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang mengaku membakar kenderaan terbabit.

“Selain itu, seorang lagi lelaki yang juga pemilik kenderaan terbabit turut ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, kejadian difahamkan berpunca daripada pergaduhan dan perselisihan faham yang berlarutan berkenaan pelbagai hantaran dimuat naik di FB dan kesemua suspek yang ditahan itu berusia 36 hingga 42 tahun.

“Dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, manakala seorang lagi yang ditahan kerana membakar kereta disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang tindakan di luar batas undang-undang yang boleh mencetuskan kegusaran dan mengancam keselamatan awam,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply