Kejadian kepala air disebabkan hujan berintensiti tinggi – MetMalaysia

0

Selaras dengan kebenaran melakukan aktiviti riadah oleh pihak berwajib, pasti ramai yang membawa anak-anak dan keluarga keluar makan angin.

Berkelah di kawasan sungai dan air terjun menjadi pilihan ramai untuk melepaskan kerinduan bercuti. Buktinya, pusat rekreasi mandi manda dan resort penuh dihuni tetamu.

Namun, tahukah anda ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian agar keselamatan anda sekeluarga terjamin.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dalam satu temubual bersama media, fenomena kepala air atau nama lainnya maksub air, lidah air dan sumber sungai, membawa maksud gelombang aliran air secara mengejut dalam kuantiti yang besar.

Ia mengalir dari hulu sungai atau air terjun menuju ke sungai utama. Lazimnya, ia berpunca dari hujan lebat yang berlaku di hulu sungai.

Katanya, fenomena ini berlaku di seluruh dunia dan telah meragut banyak nyawa.

Lapor media dalam kejadian 18 Ogos lalu, fenomena kepala air dari puncak Gunung Jerai memusnahkan pusat peranginan Titi Hayun, Batu Hampar dan Seri Perigi selain mengakibatkan banjir besar yang menjejaskan lebih 800 rumah di daerah Yan dan 200 di Kuala Muda.

Bencana itu turut mengorbankan enam mangsa akibat dihanyutkan arus deras. Ia turut menyebabkan 124 premis perniagaan dan 14 chalet pelancongan desa mengalami kerosakan. Begitulah bahayanya bahana kepala air yang dasyat dan tak tercapai dek akal.

Bagi anda yang merancang untuk ke sungai dan air terjun, berikut tip dan panduan keselamatan daripada MetMalaysia yang perlu diberi perhatian.

Punca atau sumber kepala air :

1. Hujan dihulu sungai dengan kadar luar biasa.

Akibatnya, akar pokok tidak dapat memainkan peranan menahan air untuk diserap kedalam tanah. Maka ia terus melimpah dan masuk ke dalam sungai dengan banyak.

2. Berlaku tanah runtuh.
Puncanya adalah akibat aktiviti pembalakan atau semulajadi.

Pokok-pokok yang dipotong dibiarkan atau runtuhan semulajadi menumbangkan pokok dan ini akan menghasilkan empangan-empangan kecil yang menakung air. Kesannya, jika ia tidak dapat menahan tekanan untuk menakung air, ia akan pecah dan berlakulah limpahan air yang besar.

3. Hujan luar biasa dikawasan tanah tinggi seperti gunung.

Walaupun akar pokok memperlahankan proses air mengalir kesungai, namun jika berlaku hujan lebat dan lama, maka air akan melimpah masuk kesungai dengan kadar yang banyak dan laju.

4. Empangan pecah dan kesan gempa bumi.

Tanda-tanda awal kejadian kepala air antaranya :

1. Keadaan langit yang gelap di bahagian hulu sungai iaitu kawasan puncak bukit.

2. Bunyi guruh yang kuat dari hulu sungai.

3. Bunyi dentuman gerakan batu-batan atau air dari hulu sungai.

4. Air sungai berbuih.

5. Air sungai bertukar kepada warna keruh.

6. Paras air meningkat secara tiba-tiba.

7. Kelodak, daun reput atau ranting kayu muncul dengan banyak di permukaan air.

8. Siren amaran berbunyi. Ia sebagai tanda amaran agar pengunjung segera keluar dari sungai dan bergerak ke tempat selamat. Sayangnya, bukan semua pusat rekreasi mempunyai kelengkapan sistem amaran ini.

Cara mengesan kemungkinan kepala air berlaku :

1. Jika anda mandi disatu kawasan sungai atau air terjun (terutama musim hujan), lihatlah sekeliling kawasan. Cuba cari sebarang tanda yang menunjukan paras air yang melimpah dikawasan tersebut.

Selepas itu buatlah suatu tanda aras selamat. Contohnya dengan menggunakan kayu atau batu sebagai penunjuk samada air naik atau tidak.

2. Dengan melihat perubahan kepada warna air dan arus yang mengalir.

Jika air bertukar warna dari jernih menjadi keruh, lebih baik anda naik.

3. Perubahan kepada deras air.

Jika anda merasakan tekanan kepada kaki, seperti tengelamnya ia didasar sungai (akibat pasir), maka naiklah kedarat.

4. Lihat pergerakan awan pada hulu sungai, puncak atau lembah pergunungan.

Jika mendung kemudian keputihan (bermakna hujan), maka buatlah penilayan anda sendiri samada selamat atau tidak untuk beriadah disungai.

Apa patut dilakukan jika ia berlakunya kepala air :

1. Jika sedang berenang atau berkhemah, cari kawasan yang selamat. Paling bagus ialah kawasan tinggi dan jauh dari sungai.

2. Jika sedang melintas sungai kerana ‘treakking’ secara berkumpulan, bantulah rakan yang berada ditengah-tengah untuk melintas secepat mungkin.

Bagi yang belum melintas, segera berpatah balik dan carilah tempat selamat. Contohnya berlari naik kekawasan tinggi atau memanjat pokok besar yang difikirkan selamat.

3. Andai kata tidak bernasib baik, berpautlah pada pokok, ranting atau apa saja. Jika tiada, ikut sahaja arus itu dan cari peluang untuk berenang ketepian.

4. Gunakan tali atau kayu untuk menolong mereka ketempat selamat.

Jangan berenang untuk menolong kerana ianya sangat merbahaya. Ini disebabkan jika kepala air berlaku, kebisaannya ia akan membawa sekali kayu atau pokok yang tumbang, batu dan pasir yang berisiko megakibatkan kecederaan teruk jika terkena.

5. Minta bantuan pasukan penyelamat, contoh SMART dan pasukan beruniform.

6. Jika terperangkap di seberang, tunggu sahaja keadaan pulih kepada asal sebelum mencari jalan keluar.

Walaupun kita berhasrat untuk menggembirakan yang tersayang, jangan sesekali abaikan aspek keselamatan. Ambil tahu keadaan cuaca dan persekitaran yang selamat agar nyawa tidak menjadi taruhan.

Semoga bermanfaat.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply