Mampukah CSCPA hentikan kezaliman Bashar?

0

AMERIKA Syarikat (AS) akan menguatkuasa sekatan terbaharu ke atas regim Bashar al Assad dengan matlamat menghentikan sebarang bentuk pendapatan negara itu.

Ia berkuatkuasa pada Rabu (17 Jun 2020).

Wartawan Syria Care RAZALI AWANG melaporkan, Duta AS ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kelly Craft berkata, langkah yang diambil pentadbiran Donald Trump itu bagi menyekat kemenangan tentera regim.

“Tujuan kami adalah untuk merampas pendapatan regim Bashar dan sokongan yang telah digunakan untuk melakukan kezaliman berskala besar serta pelanggaran hak asasi yang menghalang penyelesaian politik serta menyekat usaha damai,” katanya.

Dalam ucapannya di Majlis Keselamatan, Craft menegaskan, sekatan yang dikuatkuasa dibuat di bawah Akta Perlindungan Awam Caesar Syria (CSCPA) yang ditandatangan Presiden Trump pada Disember lepas.

Ia bertujuan menghalang pelaku jahat membantu dan membiayai kekejaman regim ke atas rakyat Syria dan pada masa sama memperkaya diri sendiri.

Perkembangan terbaharu itu memburukkan kemerosotan ekonomi sedia ada.

Menurut Al Arabiya, kadar kemiskinan di negara itu kini mencecah 80 peratus dan lebih 40 peratus rakyatnya terpaksa menganggur.

Peningkatan inflasi menyebabkan kenaikan mendadak bahan keperluan asas seperti minyak, gandum dan bekalan makanan sehingga mencetuskan krisis bekalan roti.

Minggu lalu, khabar angin mengenai sekatan terbaru yang akan dikenakan kuasa besar itu menyebabkan harga matawang Syria, Lira Syrian (LS) merudum teruk sehingga hampir tiada nilai.

Ia mencatatkan kejatuhan paling rendah sehingga LS4,000 bagi USD1.

Sebagai alernatif, di kawasan yang bersempadan dengan Syria, penggunaan matawang Turki, Turkish Lira (TL) semakin meluas.

Selepas sembilan tahun, keadaan semakin teruk. Regim berbangga dengan kejayaan menguasai lebih banyak wilayah namun jumlah rakyat sengsara tidak pernah susut.

Bahkan terus bertambah.

Inilah Syria…Kalah jadi abu, menang jadi arang! – SM

Laporan Razali Awang, Syria Care untuk The Malaya Post

Leave a Reply