KUALA LUMPUR 19 Dis – Jika suatu masa dahulu dunia digemparkan dengan cadangan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir yang mencadangkan kepada negara-negara Islam supaya menggunakan mata wang lain dan tidak lagi bergantung kepada dolar Amerika Syarikat, AS.
Namun ditentang hebat AS dan beberapa negara berkuasa besar.
Hari ini, di pentas Summit di Kuala Lumpur, Presiden Iran, Hassan Rouhani pula mencadangkan perkara yang sama supaya negara-negara Islam menggunakan satu mata wang kripto supaya tidak lagi bergantung kepada dolar Amerika.
Atas kesamaan itu, Malaysia hari ini mengalu-alukan cadangan Iran itu.
“Hal ini kerana menggunakan mata wang sesuatu negara memberi kekuatan pada negara itu, sebenarnya Amerika kalau hendak kira dia bankrap berhutang trilion ringgit tetapi dia tidak mahu bayar, tetapi kita masih anggap Amerika dolar itu sebagai kuat,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Sesi Meja Bulat dan Perbincangan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur siang tadi.
Dalam pada itu, Tun Dr Mahathir berkata, Malaysia bersedia menjalin kerjasama dengan Turki dan Iran mengenai penguasaan dan kepakaran kedua-dua negara itu di dalam bidang teknologi sains dan kejuruteraan.
Katanya, kedua-dua negara itu mempunyai banyak kelebihan terhadap bidang sains dan kejuruteraan.
Ia sekali gus membuka minat Malaysia untuk menerokai peluang kemajuan yang dikecapi mereka.
“Iran dengan teknologi mereka, sebab itulah mereka maju ke hadapan dan kita boleh kerjasama dengan mereka. Mereka sebut tentang pendidikan hal ini kerana soal pelajaran diutamakan di negara itu. Mereka (Iran) agak moden dan agak jauh ke hadapan dan kita boleh bertukar pandangan pada masa depan,” katanya.