Malaysia saran dialog secara aman selesai isu Kashmir dan Jammu

0

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus mengenai pendirian kerajaan tentang dasar luar Malaysia terhadap isu kemanusian di Kashmir yang semakin kusut sejak COVID-19 melanda, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein menyatakan Malaysia sentiasa peka dan mengambil berat mengenai isu kemanusiaan di Jammu dan Kashmir.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Malaysia mendukung segala inisiatif dalam usaha ke arah penyelesaian jangka masa panjang kepada isu ini.

Malaysia juga berharap agar pihak-pihak berkepentingan dalam isu ini akur dengan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha bagi menjamin keamanan serantau, khususnya kebajikan serta hak asasi penduduk Jammu dan Kashmir.

Mengambil kira Dasar Luar Malaysia, Malaysia akan terus memberi perhatian kepada isu-isu yang memerlukan usaha penyelesaian oleh masyarakat antarabangsa termasuk Palestin, Rohingya dan Kashmir.

Isu- Isu ini sering dibangkitkan dalam forum-forum antarabangsa seperti PBB, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

“Semasa Persidangan OIC pada 19 Mei lalu, Malaysia bersama beberapa negara anggota OIC telah menyuarakan kebimbangan terhadap nasib penduduk Jammu dan Kashmir.

“Kita juga telah membangkitkan kebimbangan mengenai gejala ‘Islamophobia’ yang dilihat semakin meningkat di mutakhir ini di beberapa buah negara yang mempunyai masyarakat minoriti umat Islam.

“Walaupun Malaysia mengamalkan dasar tidak campur tangan urusan dalaman negara lain, namun dalam situasi sebegini yang boleh menjejaskan kestabilan serantau, Malaysia sentiasa menyuarakan kebimbangan dan menekankan supaya isu Jammu dan Kashmir dapat diselesaikan menerusi proses dialog secara aman berlandaskan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB,” ujar beliau dalam satu kenyataan media menjawab pertanyaan ahli parlimen terbabit.

Dalam pada itu, beliau berkata ketika dunia dilanda pandemik COVID-19 beliau menyatakan Malaysia berharap supaya pihak-pihak yang terlibat dapat mencari satu jalan penyelesaian yang terbaik dan menyeluruh (comprehensive) dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau terpelihara.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply