Malaysia konsisten bela hak Palestin

0

Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian menentang pelan haram dan ‘unilateral’ oleh rejim Israel untuk melaksanakan rancangan pengilhakan sebahagian wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat sekaligus konsisten membela hak negara berkenaan.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein menyatakan respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat, Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 13 Ogos lalu berkata Malaysia berpandangan bahawa keputusan untuk normalisasikan hubungan dengan Israel adalah hak kedaulatan UAE.

“Walaubagaimanapun, pendirian Malaysia dalam isu Palestin tetap konsisten.

“Malaysia, yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, turut mengulangi pendirian yang dipegang sejak sekian lama bahawa pembentukan negara berdaulat Palestin yang bebas melalui penyelesaian dua Negara (two-State solution), berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin merupakan satu-satunya penyelesaian terhadap konflik Palestin- Israel,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak yang berkaitan, berdasar kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply