Malaysia bertegas sokong perjuangan hak Palestin di pentas dunia – PM

0

Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen.

Menurut beliau pertemuan ini merupakan kali pertama sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pada pertemuan pertama sejak beliau dilantik Perdana Menteri,  Duta Besar Palestin terbabit menyerahkan perutusan terima kasih dan ucapan Hari Raya Aidiladha daripada Presiden Mahmoud Abbas.

“Kerajaan Palestin merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sumbangan kit kesihatan yang dihantar ke Palestin pada Mei lepas.

“Dalam pertemuan saya dengan Duta Besar, kami membincangkan pelbagai perkara membabitkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin termasuk peranan yang boleh dimainkan kedua-dua pihak dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin dari sebarang bentuk penindasan.

“Saya tegaskan hubungan akrab Malaysia dan Palestin akan terus diperkukuh dan kerajaan Malaysia kekal dengan komitmen untuk menyokong dan memperjuangkan hak Palestin di pentas dunia di mana Malaysia boleh berperanan,” kongsi beliau di laman Facebook rasmi miliknya.

Perdana Menteri turut menyatakan Walid Abu Ali juga mengambil maklum mengenai pendirian dan sikap Malaysia yang tegas dalam membawa suara dan hak-hak Palestin di platform antarabangsa seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan organisasi antarabangsa yang lain.

“Duta Besar juga berterima kasih apabila kerajaan melalui Kementerian Kesihatan menjalin kerjasama dengan Palestin dalam mencari kaedah terbaik menangani COVID-19. Langkah ini telah bermula apabila Menteri Kesihatan kedua-dua negara mengadakan sidang video bagi membincangkan kerjasama berkenaan baru-baru ini,” ujar beliau

Leave a Reply