[VIDEO] “Sokongan pembangkang bantu saya buat keputusan” – Tun Dr. Mahathir Mohamad #PMJawab

0

Malaysia Baharu adalah slogan yang diperkenalkan sejurus parti Pakatan Harapan berjaya menguasai Dewan Rakyat seterusnya membolehkan membentuk sebuah kerajaan selepas tamatnya Pilihan Raya Umum 2018.

Aura, ketokohan, kredibiliti dan kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir Mohamad disebut-sebut sebagai ‘batu loncatan’ di atas kejayaan luar biasa Pakatan Harapan yang berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang telah menguasai kerajaan persekutuan Malaysia sejak kemerdekaan.

Dalam memimpin sebuah Malaysia Baharu, Tun Dr. Mahathir melihat beberapa perkara baharu yang ditempuhi setelah kembali bergelar Perdana Menteri Malaysia dalam berdepan dengan pembangkang yang berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan.

“Pembangkang yang ada sekarang ini, dahulu adalah kerajaan dan mereka tahu selok-belok kerajaan dan mereka tahu samada sesuatu tu mungkin dilakukan ataupun tidak.

“Jadi apabila mereka lihat bahawa apa tindakan yang diambil oleh kerajaan yang ada sekarang ini sesuai dengan pendapat mereka, mereka akan sokong tetapi jika kita buat tindakan yang bertentangan dengan kehendak mereka, mereka tidak akan menyokong.

“Jadi ini satu perkembangan baru yang didapati juga di negara-negara demokrasi yang lain. Kita dulu terlalu keras menyokong parti samada parti itu betul ataupun tidak walaupun kita tahu apa yang dilakukan oleh kerajaan baik parti lawan mesti tentang kerana itu katanya itu tugas parti lawan,” kata Tun Dr. Mahathir dalam wawancara #PMJawab di The Malaya Post TV semalam.

Beliau tidak menafikan dengan perkembangan baharu ini banyak memberi kesan negatif.

Tetapi apabila parti lawan juga sanggup menyokong tindakan yang baik bagi negara, ianya memudahkan kerajaan kepimpinan beliau membuat keputusan dan bertindak.

Contohnya Usul Had Umur Undi 18 tahun juga mencatat sejarah kerajaan apabila ianya julung kalinya mendapat sokongan 211 daripada 222 ahli parlimen.

Dalam pada itu, Tun Dr. Mahathir tidak menyangkal bahawa ada kalanya terdapat situasi janggal sekiranya terdapat bantahan dari jemaah menteri kabinet yang dianggotai oleh beberapa parti dalam gabungan Pakatan Harapan.

“Dulu saya memimpin parti yang terbesar dalam kerajaan, kalau pun ada tentangan tak mungkin kalau di undi mereka akan menang.

“Sebab itu mereka boleh dikatakan terpaksa terima pendapat parti yang terbesar yang mempunyai Perdana Menteri tapi sekarang ini kita mempunyai lima buah parti dan masing masing sama kuat, tak ada satu parti yang dominan.

“Dengan itu kita perlu dengar pendapat semua kelima-lima pihak. Ini mengambil masa, saya sebagai Perdana Menteri menjadi pengerusi dalam kabinet dan saya dengar semua pendapat,” ujar Tun Dr. Mahathir.

Tambah Tun Dr. Mahathir, pada pengakhiran setelah mendengar pelbagai cadangan, beliau akan merumuskan pendapat dilihat “common” iaitu boleh diterima oleh semua parti dan perkara ini akan disokong melalui pendapat popular.

“Dengan itu kita dapat membuat keputusan dalam kabinet, kadang kadang jika ianya sukar kita terpaksa untuk tidak membuat keputusan dan akan mengadakan mesyuarat kabinet istimewa, khusus untuk masalah itu.

“Tetapi akhirnya kita terpaksa mencari jalan keluar  dengan membuat persetujuan walaupun terdapat beberapa perkara mereka tidak berpuas hati,” tambahnya.

Sebagai negarawan ulung yang mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam pentadbiran negara mahupun kancah politik serta dilabelkan ssbagai “King Maker” di mana percaturan politik yang sukar dibaca Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat tenang memimpin sebuah kerajaan baharu yang kini hampir dua tahun menawan Putrajaya.

Apabila diajukan persoalan berkenaan penilaian prestasi kerja jemaah menteri di bawah kepimpinan beliau, dengan teratur dan bijak beliau menzahirkan bahawa penilaian tidak boleh dilakukan dengan sendirinya kerana kesan akan terpalit kepada politik.

“Saya tak boleh buat penilaian macam itu kerana dengan sendirinya dia mempunyai kesan politik tetapi kita tumpukan kepada keputusan bukan parti, bukan kabinet , bukan menteri sesuatu keputusan dibuat, katanya.

Walaupun terdapat masalah dan terpaksa melakukan mesyuarat kabinet istimewa atau khas, Tun Dr. Mahathir menegaskan perkara paling penting adalah pembentukan sebuah kerajaan melalui persetujuan gabungan dalam satu pakatan.

“Sama ada kita boleh membuat keputusan ataupun tidak, setakat ini walaupun ada masalah, kadang- kadang terpaksa mengadakan mesyuarat kabinet istimewa khusus untuk satu-satu perkara tetapi hakikatnya adalah kita dapat terus memerintah dengan persetujuan semua parti-parti yang ada dalam kerajaan,” ujar beliau.

Atas dasar yang diperkatakan beliau, ianya jelas membuktikan pemimpin yang baik tidak pernah melakukan sesuatu atas dasar pemaksaan untuk mengikutinya, cukup dengan mengundang agar mengikuti perjalanan yang dilaluinya.

Kebebasan ini akan mendorong seseorang untuk menjadi pemimpin yang baik. — THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel Untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply