Malaysia, Arab Saudi perkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang

0

Malaysia dan Arab Saudi sepakat ingin menjalin kerjasama dalam kepakaran menghasilkan vaksin untuk virus COVID-19.

Malaysia turut menyentuh mengenai hal-hal berkaitan urusan haji dan membangkitkan hasrat supaya jumlah kuota bagi menunaikan haji kepada jemaah Malaysia pada musim haji yang akan datang dapat ditambah.

Melalui perkongsian di laman media sosial rasmi, Perdana Menteri turut membincangkan usahasama bagi mengeksport mingak sawit ke negara berkenaan.

“Tuan Yang Terutama Mahmoud Hussein Saeed Qattan juga menyatakan kesediaan Arab Saudi untuk berbincang dengan kerajaan dalam urusan pengeksportan minyak sawit Malaysia ke negara itu.

“Saya menyambut baik hasrat tersebut dan mencadangkan agar Arab Saudi menjadi hab minyak sawit Malaysia di Asia Barat,” ujar Perdana Menteri ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussein Saeed Qattan di bangunan Perdana Putra.

Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyatakan topik perbincangan tertumpu kepada usaha meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara serta bagaimana meneroka peluang-peluang baharu dalam pelbagai bidang untuk kebaikan bersama.

“Saya menggunakan kesempatan tersebut bagi mengucapkan penghargaan Kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap kerajaan Arab Saudi atas sumbangan peralatan perubatan kepada Malaysia bagi menangani penularan COVID-19.

“Sumbangan itu amat membantu usaha oleh Kementerian Kesihatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dalam memerangi penularan wabak itu di negara ini.

Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih Kerajaan kepada Arab Saudi kerana membantu mempermudah proses penghantaran pulang rakyat Malaysia ke tanah air baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga secara peribadi meminta Duta Besar Arab Saudi menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan juga Yang Mulia Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud atas kemurahan hati baginda serta kerajaan Arab Saudi membantu Malaysia semasa negara berdepan situasi sukar melawan pandemik COVID-19.

“Tuan Yang Terutama Mahmoud Hussein Saeed Qattan turut berkongsi penghargaan Arab Saudi kepada Malaysia atas perkongsian pengalaman serta kepakaran dengan negara itu dalam menangani wabak tersebut,” tambahnya.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply