Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara luar untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin

0

Kerajaan Malaysia sentiasa konsisten dengan dasar luar terhadap isu penindasan Israel ke atas rakyat Palestin secara berterusan.

Malaysia sejak dahulu lagi mengutuk sekeras-kerasnya pembinaan penempatan haram oleh Israel.

Tindakan Parlimen Israel meluluskan pembinaan penempatan haram sememangnya menyalahi undang-undang antarabangsa, khususnya Resolusi 2334, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada 23 Disember 2016.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dalam satu kenyataan media menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkenaan  rancangan menggesa badan-badan dunia khususnya Pertubuhan Kerjasama Islam (Organisation of Islamic Cooperation – OIC) bagi menghalang rancangan pengilhakan (annexation) Israel ke atas Tebing Barat berkata dalam konteks ini, Malaysia melihat rancangan Israel untuk mengilhak (annex) sebahagian wilayah Tebing Barat adalah sebagai lanjutan kepada pencabulan berterusan Israel ke atas hak-hak rakyat Palestin dan penghinaan terhadap undang-undang antarabangsa. Aktiviti penempatan haram Israel ini juga mampu mengancam penyelesaian dua negara konflik ini.

Lanjutan daripada isu ini, antara perkara yang telah dilaksanakan oleh Malaysia antaranya :

i. Kementerian Luar Negeri telah mengeluarkan kenyataan pada 22 Mei 2020 bagi mengutuk sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk mengilhak sebahagian wilayah Tebing Barat.

ii. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membangkitkan isu ini semasa perbualan telefon dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, Presiden Republik Turki pada 1 Jun 2020.

iii. Yang Berhormat Timbalan Menteri Luar Negeri telah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Open-Ended Virtual Extraordinary Meeting Peringkat Menteri-Menteri Luar Negeri yang diadakan secara atas talian (virtual) pada 10 Jun 2020 bagi membincangkan rancangan Israel untuk mengilhak sebahagian wilayah Tebing Barat.

iv. Yang di-Pertuan Agong melalui satu kenyataan media bertarikh 14 Jun 2020 menzahirkan rasa sangat prihatin dan sokongan Baginda kepada rakyat Palestin yang terus dijajah dan ditindas oleh rejim Israel. Baginda juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan agar rakyat Palestin dilindungi serta menitahkan agar masjid-masjid dan surau-surau untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat.

v. Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 melalui Persidangan Video pada 26 Jun lalu, Perdana Menteri telah menyeru supaya Majlis Keselamatan PBB untuk menentang rancangan Israel untuk mengilhak sebahagian wilayah Tebing Barat.

vi. Di atas permintaan Kerajaan Palestin, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah merakamkan satu video pada 2 Julai 2020 bagi menyatakan sokongan kepada Kerajaan Palestin menentang keputusan sepihak Israel untuk mengilhak sebahagian Tebing Barat. Kerajaan Palestin memaklumkan bahawa rakaman terbabit akan disiarkan bersama-sama dengan video sokongan daripada pemimpin-pemimpin dunia yang lain.

Beliau menegaskan Malaysia berpendirian teguh bahawa penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara- negara rakan yang lain untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin dalam pelbagai fora termasuk dua dala dan pelbagai hala.

“Malaysia akan senantiasa memainkan peranan aktif dalam usaha mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan kepada konflik Palestin- Israel, khususnya ke arah mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka,” ujar beliau.

Untuk rekod, beliau turut menyatakan semasa Mesyuarat Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Open-Ended Virtual Extraordinary Meeting Peringkat Menteri- Menteri Luar Negeri yang diadakan secara atas talian (virtual) pada 10 Jun 2020, Malaysia dan kesemua negara anggota OIC yang hadir ke mesyuarat berkenaan telah mengulangi sokongan padu yang berterusan terhadap Palestin serta mengutuk dan menolak tindakan kejam Israel untuk mengilhak tanah milik Palestin di Tebing Barat. Mesyuarat tersebut telah menzahirkan persetujuan sebulat suara kesemua negara anggota OIC untuk menerima pakai resolusi OIC mengenai ancaman Israel mengilhak sebahagian tanah milik Palestin yang dijajah pada 1967 (threats of the Israeli Occupation Government to Annex Parts of State of Palestine’s territory Occupied in 1967).

Leave a Reply